Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bersama Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican bergambar bersama buku Laporan Kemajuan GEAR-uP 2026 pada sidang media Laporan Tahunan GEAR-uP 2026 di Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 07 OGOS 2026.

PUTRAJAYA – Laporan Kemajuan GEAR-up 2026 mendedahkan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) telah memperuntukkan dan menyalurkan pelaburan langsung domestik sebanyak RM20.3 bilion tahun lalu.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, jumlah tersebut kira-kira tiga kali ganda berbanding RM6.6 bilion yang direkodkan pada 2024.

Kata beliau, daripada jumlah tersebut, RM1.4 bilion telah disalurkan ke dalam industri
semikonduktor dan RM1.8 bilion ke dalam infrastruktur digital dan logistik di samping pelaburan seterusnya dalam sektor tenaga, penjagaan kesihatan, keterjaminan
makanan serta syarikat-syarikat muda Malaysia.

“GEAR-uP berfungsi untuk menukarkan modal kepada keupayaan dan ini bermakna
membina perniagaan, mewujudkan pekerjaan yang baik, dan membayar gaji yang adil
kepada rakyat Malaysia.

“Laporan ini memaparkan hasil kerja sepanjang tahun penuh tersebut dan kami tidak mengukur kejayaan melalui ringgit semata-mata.

“Kami mengukurnya menerusi peningkatan gaji, graduan yang memulakan pekerjaan yang baik, perniagaan yang berkembang serta rantaian bekalan yang kukuh bertapak di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Laporan Kemajuan GEAR-uP 2026 iaitu laporan tahunan penuh yang pertama bagi Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) di Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bercakap pada sidang media Laporan Tahunan GEAR-uP 2026 di Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 07 OGOS 2026.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, sehingga Disember 2025, sebanyak 91.7 peratus daripada 206,987 pekerja tetap rakyat Malaysia di seluruh GLIC dan 37 Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di bawah mereka meraih pendapatan sekurang-kurangnya RM3,100 sebulan.

Menurut beliau, ia penanda aras gaji kehidupan wajar susulan komitmen yang dibuat secara bersama oleh kesemua enam GLIC pada Mei 2025.

Tambanya, GLIC dan GLC juga telah melabur sebanyak RM641 juta dalam program komuniti pada tahun 2025, meningkat 20 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Tajaan biasiswa mereka telah menyokong purata 7,526 pelajar setahun antara tahun 2020 hingga 2025, di mana 88 peratus daripadanya adalah daripada isi rumah golongan B40 dan M40.

“Pemerkasaan Bumiputera kekal menjadi keutamaan teras program ini dan pada tahun
2025, GLIC telah melabur RM1.3 bilion secara terus ke dalam syarikat-syarikat
Bumiputera untuk membantu mereka berkembang.

“Manakala GLC dan PETRONAS telah membeli barangan dan perkhidmatan bernilai kira-kira RM49 bilion setahun daripada perniagaan Bumiputera bagi tempoh 2022 hingga 2025,” katanya.

Amir Hamzah memberitahu, GEAR-uP melangkah ke tahun 2026 dengan momentum yang kukuh di mana kesemua 37 GLC di bawah enam GLIC kini menjadi sebahagian daripada program itu, dengan mencatatkan pulangan pemegang saham sebanyak lapan perratus bagi keseluruhan portfolio pada tahun 2025 berbanding sasaran 7.5 peratus.

“Sebahagian besar daripada komitmen RM120 bilion masih belum disalurkan, dan modal tersebut akan terus mengalir ke dalam sektor semikonduktor, infrastruktur digital, penjagaan kesihatan serta transisi tenaga.

“Program Bakat MADANI pula akan menyediakan latihan dan peluang pekerjaan kepada 25,000 rakyat Malaysia menjelang akhir tahun 2027 dan fokus bagi dua tahun akan datang adalah untuk kekal berada di landasan yang betul serta merealisasikan pelaksanaan,” katanya. – MalaysiaGazette

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bersama Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican bergambar bersama buku Laporan Kemajuan GEAR-uP 2026 pada sidang media Laporan Tahunan GEAR-uP 2026 di Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 07 OGOS 2026.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast