Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu, Aiman Wan Alias

KUALA LUMPUR – Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu menggesa kerajaan melaksanakan sepenuhnya syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji (TH) termasuk meminda Akta Tabung Haji bagi mengehadkan kuasa budi bicara menteri dalam urusan operasi dan pelaburan.

Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Negeri PKR Terengganu, Aiman Wan Alias berkata, dapatan RCI menunjukkan terdapat kelemahan dalam aspek pengurusan, pengawasan dan proses membuat keputusan yang memberi kesan kepada kedudukan Tabung Haji (TH).

Menurutnya, langkah pembetulan perlu memberi tumpuan kepada pengukuhan mekanisme semak dan imbang, pemerkasaan peranan Lembaga serta memastikan keputusan pelaburan dibuat secara bebas dan profesional.

“Pelaksanaan kesemua syor RCI perlu dipantau secara terbuka melalui mekanisme yang boleh dipertanggungjawabkan kepada Parlimen.

“Kerajaan perlu mengemukakan pelan pelaksanaan yang mempunyai garis masa jelas serta melaporkan kemajuannya secara berkala,” katanya dalam kenyataan.

PKR Terengganu turut mencadangkan supaya peranan menteri hanya tertumpu kepada penetapan dasar manakala keputusan pelaburan diserahkan kepada Lembaga dan Jawatankuasa Pelaburan yang bebas.

Katanya, keputusan pelaburan perlu dibuat berdasarkan penilaian risiko dan kepentingan pendeposit, bukannya dipengaruhi pertimbangan politik.

Pada masa sama, syarat pelantikan pengerusi dan ahli lembaga TH juga perlu diperkukuhkan menerusi mekanisme fit and proper.

“Selain kelayakan profesional, setiap calon hendaklah mempunyai pengalaman relevan dalam kewangan, pelaburan atau pengurusan risiko, menjalani saringan integriti, membuat pengisytiharan konflik kepentingan serta tertakluk kepada penilaian prestasi yang telus.

“Syarat minimum di bawah Akta sedia ada adalah tidak mencukupi,” katanya.

PKR Terengganu turut menegaskan, audit forensik dan tindakan penguatkuasaan yang disyorkan RCI perlu dilaksanakan sepenuhnya tanpa kompromi.

Aiman berkata, pendeposit berhak mengetahui punca kerugian termasuk sama ada berlaku pelanggaran tanggungjawab fidusiari serta tindakan pemulihan kerugian sekiranya terdapat kecuaian atau salah laku.

Beliau berkata, TH juga perlu meningkatkan budaya ketelusan terhadap pendeposit dengan memperincikan laporan prestasi pelaburan, risiko material serta keputusan pelaburan utama selaras amalan terbaik institusi kewangan.

“Amanah tidak boleh bergantung kepada kepercayaan semata-mata, sebaliknya mesti disokong dengan ketelusan dan akauntabiliti yang boleh dinilai oleh rakyat,” katanya.

Selain itu, PKR Terengganu berpandangan individu yang masih memegang jawatan politik aktif tidak wajar dilantik sebagai pengerusi atau ahli lembaga TH.

Menurutnya, institusi amanah umat Islam itu perlu bebas daripada persepsi bahawa keputusan pelaburannya dipengaruhi kepentingan politik.

“Laporan RCI ini perlu dilihat sebagai asas kepada pembaikan struktur, bukan sekadar penilaian terhadap kegagalan masa lalu.

“Yang penting ialah memastikan kelemahan tadbir urus yang dikenal pasti tidak berulang melalui pengukuhan mekanisme semak dan imbang, kebebasan Lembaga serta akauntabiliti yang lebih jelas,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, akauntabiliti politik juga perlu ditegakkan dan UMNO perlu menjelaskan keputusan yang dibuat serta mengakui kelemahan yang berlaku. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast