ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari

SHAH ALAM – Spekulasi mengenai kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Kecil (PRK) di Selangor susulan status kebankrapan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akhirnya terjawab apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini membatalkan Perintah Kebankrapan terhadap wakil rakyat berkenaan.

Dokumen perintah mahkamah yang diperlihatkan kepada MalaysiaGazette menunjukkan ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari, berjaya memperoleh perintah membatalkan Perintah Kebankrapan yang dikenakan terhadapnya selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonannya di bawah Seksyen 105 Akta Insolvensi 1967.

Perintah itu dikeluarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Malaya Shah Alam, Nur Hafizah Rajuni pada prosiding yang berlangsung hari ini.

Berdasarkan dokumen bertarikh 7 Ogos itu, mahkamah memerintahkan supaya Perintah Kebankrapan bertarikh 1 April 2026 terhadap Abdul Rashid dibatalkan, manakala kos permohonan ditanggung oleh penghutang penghakiman.

Permohonan berkenaan difailkan oleh Abdul Rashid selaku penghutang penghakiman terhadap Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai pemiutang penghakiman.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas meneliti afidavit sokongan Abdul Rashid yang diikrarkan pada 6 Ogos lalu serta mendengar hujahan peguam yang mewakili semua pihak, termasuk wakil Ketua Pengarah Insolvensi dan peguam pemiutang penghakiman.

Antara yang hadir pada prosiding itu ialah peguam Nurullhuda Siam yang mewakili Abdul Rashid, Peguam Persekutuan Natrah Mazman, Pegawai Insolvensi Norizan Mohamed bagi pihak Ketua Pengarah Insolvensi serta peguam Hilmi Mazlan yang mewakili KWSP.

Pembatalan Perintah Kebankrapan itu sekali gus menamatkan spekulasi bahawa Selangor bakal berdepan PRK susulan isu kebankrapan yang membabitkan wakil rakyat berkenaan.

Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan status kebankrapan seorang ADUN Selangor mencetuskan spekulasi bahawa negeri itu mungkin berdepan PRK sekiranya wakil rakyat terbabit kekal berstatus bankrap.

Malah, ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan baru-baru ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengesahkan wakil rakyat berkenaan berdepan isu kebankrapan.

Bagaimanapun, beliau berkata sebarang keputusan mengenai kedudukan kerusi DUN itu adalah di bawah bidang kuasa Speaker Dewan Negeri Selangor mengikut peruntukan undang-undang.

Menurut sumber, Abdul Rashid dijangka kembali menghadiri persidangan Dewan Negeri Selangor yang sedang berlangsung minggu depan selepas tidak menghadiri minggu pertama persidangan.

Difahamkan, ketidakhadiran beliau pada minggu lalu mencetuskan pelbagai spekulasi susulan isu kebankrapan yang dihadapinya, namun Speaker Dewan Negeri Selangor sehingga kini belum membuat sebarang ketetapan rasmi berhubung kedudukan kerusi DUN Selat Klang.

Dengan pembatalan Perintah Kebankrapan oleh Mahkamah Tinggi hari ini, spekulasi mengenai kemungkinan berlakunya PRK di Selangor susulan isu tersebut kini berakhir.

Sehingga artikel ini ditulis, pihak Abdul Rashid belum memberikan apa-apa pengesahan tentang perkara ini. -MalaysiaGazette

PRK Selangor bakal menyusul selepas PRN Negeri Sembilan?

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast