Logo Parti DAP

SHAH ALAM – Pemuda DAP (DAPSY) Shah Alam hari ini membuat laporan polis terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berhubung kenyataan yang didakwa menuduh DAP mempunyai agenda untuk menghapuskan kaum Melayu dan agama Islam di negara ini.

DAPSY Shah Alam menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai fitnah dan retorik berbahaya yang boleh mencetuskan ketakutan, ketegangan serta prasangka antara kaum dan agama.

“Tuduhan DAP mahu menghapuskan Melayu dan Islam bukan sahaja tidak berasas, malah bercanggah dengan perlembagaan parti serta rekod perkhidmatannya.

“DAP sentiasa menjunjung Perlembagaan Persekutuan, termasuk kedudukan agama Islam, hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera serta institusi Raja-Raja Melayu,” kata DAPSY menerusi satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Abdul Hadi menerusi Minda Presiden PAS bertajuk ‘DAP Memimpin PH Menyambung Kerja Penjajah Hapuskan Melayu Islam’ mendakwa DAP yang mendominasi PH sedang meneruskan agenda penjajah bagi melemahkan kedudukan Melayu dan Islam di negara ini.

Ahli Parlimen Marang itu mendakwa, agenda berkenaan dilaksanakan melalui pendekatan politik, pendidikan, ekonomi dan pentadbiran yang menurutnya berakar daripada sistem peninggalan penjajahan.

Dalam pada itu, DAPSY Shah Alam berkata, retorik sedemikian sengaja dimainkan untuk mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, selain mengaitkan isu sensitif membabitkan agama dan kaum sebagai modal politik.

“Tindakan menabur dakwaan sedemikian amat berbahaya kerana berpotensi merosakkan keharmonian dan perpaduan masyarakat yang selama ini dibina dalam sebuah negara berbilang bangsa dan agama,” katanya.

Menurut kenyataan itu, DAPSY Shah Alam menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan terhadap kenyataan berkenaan di bawah peruntukan undang-undang yang berkaitan.

“PDRM diminta menjalankan siasatan secara telus dan segera, termasuk di bawah peruntukan undang-undang yang relevan seperti Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

DAPSY Shah Alam turut menggesa tindakan undang-undang sewajarnya diambil sebagai pengajaran bahawa isu melibatkan Raja, agama dan kaum (3R) tidak boleh digunakan secara sewenang-wenangnya sebagai alat politik.

“DAPSY Shah Alam akan terus bekerjasama dengan parti induk dan Pakatan Harapan (PH) dalam usaha mempertahankan keharmonian kaum, prinsip demokrasi serta ketenteraman awam,” kata kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.