TANJONG MALIM – Penubuhan Galeri Razak Sensei di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bukan sahaja mengabadikan legasi tokoh pendidik negara Datuk Abdul Razak Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Razak Sensei, malah menjadi simbol keamanan serta memperkukuh hubungan pendidikan dan kebudayaan antara Malaysia dengan Jepun.
Duta Besar Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki berkata, galeri berkenaan berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan kedua-dua negara melalui pendidikan, dialog antara budaya dan nilai kemanusiaan yang diperjuangkan oleh Razak Sensei.
Beliau berkata, tarikh perasmian galeri itu turut membawa makna mendalam kerana berlangsung pada 6 Ogos, bertepatan ulang tahun ke-81 pengeboman atom di Hiroshima yang mengorbankan ribuan nyawa, termasuk menjadi detik bersejarah yang mengubah kehidupan Razak Sensei sebagai antara mangsa yang terselamat.
“Keajaiban beliau terselamat daripada tragedi Hiroshima serta keberanian beliau mengubah pengalaman pahit itu menjadi komitmen sepanjang hayat terhadap keamanan dan pendidikan merupakan teladan yang wajar dicontohi oleh kita semua.
“Kisah kehidupan beliau mengingatkan kita bahawa pendidikan jauh melangkaui penyampaian ilmu semata-mata. Pendidikan ialah suatu kuasa yang membentuk sahsiah, menyemai rasa saling menghormati serta membina masyarakat yang aman,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Galeri Razak Sensei di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI, baru-baru ini.
Shikata berkata, sekembalinya ke Tanah Melayu, Razak Sensei mendedikasikan seluruh kehidupannya kepada dunia pendidikan serta muncul sebagai antara perintis pendidikan bahasa Jepun dan pengajian Jepun di Malaysia.
Menurut beliau, sumbangan tokoh itu bukan sahaja melahirkan generasi pendidik dan memperkukuh hubungan akademik kedua-dua negara, malah turut menyumbang kepada pembentukan Dasar Pandang ke Timur yang sehingga kini kekal sebagai antara tonggak utama hubungan Malaysia-Jepun.
“Saya berharap para pelajar, pendidik, penyelidik dan pengunjung akan memperoleh inspirasi daripada galeri ini untuk terus menghargai pendidikan, dialog antara budaya dan nilai-nilai kemanusiaan, di samping memperluaskan lagi kerjasama antara Jepun dan Malaysia pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, penubuhan Galeri Razak Sensei merupakan hasil usaha berterusan universiti itu dalam mengangkat dan mendokumentasikan legasi tokoh berkenaan secara sistematik menerusi wacana intelektual, projek penyelidikan serta pemeliharaan bahan sejarah.
Dr. Md Amin berkata, usaha tersebut bermula menerusi Wacana Intelektual Razak Sensei pada tahun 2015 dan diteruskan melalui projek penyelidikan yang dilaksanakan di UPSI bagi memastikan sumbangan besar Razak Sensei dalam memperkukuh hubungan pendidikan dan kebudayaan antara Malaysia dan Jepun terus dikenang.
“Hasil daripada penyelidikan tersebut, Galeri Razak Sensei kini menghimpunkan sebanyak 525 koleksi yang terdiri daripada barangan peribadi, dokumen sejarah, gambar serta artifak berharga milik Allahyarham Razak Sensei.
“Setiap koleksi yang dipamerkan menyimpan nilai sejarah yang tersendiri serta menceritakan kisah keberanian, pengorbanan dan semangat juang yang luar biasa,” katanya. – MalaysiaGazette
















