KUCHING – Kursus Pengurusan Media Strategik dan Digital yang dikendalikan pakar rujuk daripada Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM), diyakini mampu memperkukuh keupayaan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam mengurus isu serta situasi krisis yang timbul di media sosial secara lebih berkesan.
Penolong Kanan Pengarah Kastam (PKPK II), Akademi Kastam Malaysia (AKMAL) Cawangan Sarawak, Deswita Santari Abdul Khalik berkata, kursus yang berlangsung dari 3 hingga 6 Ogos itu memberi pendedahan kepada peserta mengenai simulasi kawalan naratif digital dan realiti operasi bilik berita.
Katanya, program berkenaan bertujuan memantapkan kemahiran sedia ada anggota JKDM supaya lebih proaktif dalam menangani sesuatu isu sebelum berkembang menjadi krisis yang lebih besar.
“Kita sudah memiliki kemahiran sedia ada, tetapi kursus kali ini bertujuan memantapkan lagi keupayaan JKDM untuk bertindak lebih proaktif sebelum sesuatu isu bertukar menjadi krisis besar.
“Melalui kursus ini, peserta juga didedahkan dengan realiti operasi bilik berita dan peranan yang perlu dimainkan oleh agensi penguat kuasa dalam menyalurkan maklumat yang pantas kepada masyarakat,” katanya satu kenyataan.
Kursus itu melibatkan lebih 30 anggota pelbagai pangkat dari ibu pejabat dan cawangan JKDM di seluruh negara.
Menurut Deswita, peserta turut didedahkan dengan kaedah penggunaan alat forensik dan pemantauan sentimen asas seperti InVID WeVerify, Google Reverse Image Search, X Advanced Search, Google Trends dan Boardreader.
“Mereka juga dibimbing secara praktikal menghasilkan bahan media digital seperti penulisan kenyataan balas pantas, kenyataan media, penulisan media sosial, reka bentuk infografik serta pengendalian sidang media yang berkesan,” katanya.
Menurut beliau, pendedahan secara teori, simulasi dan praktikal itu diharap dapat memperkukuh keupayaan anggota JKDM dalam mengesan, menilai serta menangani isu digital secara pantas dan berstrategi, sekali gus memastikan penyampaian maklumat rasmi kepada masyarakat lebih tepat dan berkesan ketika berdepan situasi krisis. – MalaysiaGazette
















