GEORGE TOWN – Kerosakan akar, pemadatan tanah kronik dan ruang akar yang terhad dikenal pasti antara faktor menyebabkan pokok Angsana berusia kira-kira 90 tahun tumbang di Jalan Macalister, di sini, hari ini hingga mengakibatkan tiga individu cedera.
Datuk Bandar Majis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk A. Rajendran berkata, pokok daripada spesies Pterocarpus indicus setinggi 28 meter itu didapati mengalami kira-kira 30 peratus kerosakan akar, selain terdapat rongga yang menjejaskan kira-kira 40 peratus bahagian pangkal batang.
“Gabungan kerosakan akar, rongga pada pangkal batang, pemadatan tanah yang kronik, ruang akar yang terhad serta ketinggian pokok meningkatkan risiko kegagalan struktur pokok berkenaan.
“Tiada laporan hujan lebat atau angin kencang ketika kejadian berlaku.
“Kerja-kerja mengalihkan pokok tumbang dimulakan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada jam 9.41 pagi, manakala jalan berkenaan dibuka semula kepada pengguna pada jam 2.20 petang,” katanya hari ini.
Tambah beliau, MBPP pernah menjalankan penilaian terhadap pokok matang dan berusia di sepanjang Jalan Macalister pada 2024, yang menyaksikan 13 pokok dikenal pasti untuk ditebang dan kerja berkenaan kemudiannya dilaksanakan.
“Kajian penderiaan jauh satelit bagi penyelesaian amaran awal berkaitan kesihatan pokok yang dijalankan pada 2025 pula mendapati pokok terbabit berada dalam keadaan baik tanpa sebarang petunjuk amaran.
“Kerja penyelenggaraan pokok terakhir di sepanjang Jalan Macalister dijalankan pada 29 Januari lalu,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
Terdahulu, media melaporkan pasangan suami isteri bersama cucu perempuan mereka cedera selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di Jalan Macalister di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, Loh Kok Kim, 66, mengalami kecederaan di dada, manakala isterinya, Lee Geok Suan, 68, cedera pada hidung dan tangan kiri. Cucu mereka, Emily, 9, pula mengalami kecederaan pada tangan dan ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Mohd Nazrin Azuddin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.12 pagi sebelum mendapati pokok setinggi kira-kira 30 meter tumbang melintangi Jalan Macalister dan menghempap Perodua Ativa dinaiki mangsa.
Mangsa bagaimanapun berjaya dikeluarkan orang awam sebelum pasukan penyelamat tiba. – MalaysiaGazette
















