Dr. Mohammed Taufiq Johari

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa audit forensik dijalankan terhadap Lembaga Tabung Haji (TH) bagi menjejak aliran wang dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab atas penyembunyian maklumat atau kecurangan amanah susulan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), baru-baru ini.

Naib Ketua AMK, Dr Mohamed Taufiq Johari berkata, siasatan menyeluruh tanpa kompromi perlu dilakukan bagi memastikan kepentingan dan hak simpanan umat Islam terus terjamin.

“Sebarang bentuk salah guna kuasa, salah urus tadbir mahupun ketirisan dana dalam institusi ini bukan sekadar penyelewengan kewangan biasa, tetapi merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap amanah umat Islam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pasukan khas penguat kuasa yang dianggotai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu menjalankan audit berkenaan secara mendalam bagi menjejak aliran wang dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab.

Terdahulu, Ahli Parlimen Sungai Petani yang juga Menteri Belia dan Sukan itu menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang mahu siasatan dijalankan berhubung isu TH secara menyeluruh dan telus.

Menurutnya, tindakan susulan itu perlu memberi tumpuan kepada tiga isu utama yang dibangkitkan dalam laporan RCI iaitu kelemahan tadbir urus dan campur tangan politik; kelemahan pelaporan kewangan serta pengiktirafan kerugian dan isu agihan hibah yang tidak selari dengan kedudukan kewangan sebenar.

Katanya, RCI mengenal pasti kelemahan tadbir urus termasuk struktur pelantikan lembaga yang didakwa tidak menetapkan syarat kelayakan dan kepakaran mencukupi.

“Penglibatan ahli politik dalam kedudukan kanan TH serta pengaruh pertimbangan politik dalam beberapa keputusan penting menimbulkan persoalan terhadap kebebasan dan profesionalisme pengurusan institusi itu,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Taufiq berkata, pendedahan bahawa dakwaan aset TH dijual kepada pihak bukan Islam adalah fitnah sepatutnya menghentikan polemik yang tidak berasaskan fakta.

Ujarnya, isu-isu yang dibangkitkan RCI saling berkait apabila kelemahan tadbir urus boleh mempengaruhi kualiti keputusan, manakala kelemahan pelaporan kewangan berpotensi mengaburkan kedudukan sebenar institusi.

Pada masa sama, tambahnya, keputusan agihan hibah yang tidak sepadan dengan kemampuan kewangan boleh menghakis rizab serta menjejaskan kepentingan pendeposit dalam jangka panjang.

Sementara itu, Taufiq berkata, sidang khas Dewan Rakyat pada 11 Ogos ini perlu menjadi medan perbahasan yang menyeluruh, berani dan telus mengenai isu tadbir urus TH.

“Pemulihan imej Tabung Haji mesti dipandu oleh akauntabiliti, tata kelola berasaskan syariat dan kawalan risiko yang kukuh demi memelihara institusi suci ini untuk generasi akan datang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast