Foto: FB Marzuki Mohamad

KUALA LUMPUR – Percubaan menyingkirkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) daripada Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai langsung tidak bermoral dan tidak berperlembagaan.

Bekas Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, ia bukan soal Bersatu terhegeh-hegeh untuk kekal di dalam PN, tetapi berkenaan hak, peraturan dan perlembagaan yang mesti dipatuhi.

Ujarnya, Bersatu sebagai parti anggota PN mempunyai hak di bawah Fasal 7 Perlembagaan PN untuk hadir dan memberikan pandangan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN.

Malangnya, menurut beliau, Bersatu telah dihalang daripada menghadiri Mesyuarat MT PN pada 16 Julai lalu yang memutuskan pembahagian kerusi PN untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

“Niatnya ialah untuk tidak membenarkan BERSATU bertanding menggunakan logo PN.

“Malah dua kerusi incumbent BERSATU iaitu Labu dan Gemas telah diagihkan kepada PAS dan Wawasan,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Tambah beliau, apabila Bersatu bertanding menggunakan logo sendiri dan mengumumkan untuk membentuk sebuah gabungan baharu, parti itu dikatakan telah tergugur keanggotan PN secara automatik.

Sedangkan, ujarnya, tiada satu fasal pun dalam Perlembagaan PN yang memperuntukkan keanggotaan sesebuah parti tergugur dengan sendiri.

“Macamana nak memikul amanah mentadbir negara secara adil dan saksama jika hak-hak yang termaktub dalam perlembagaan parti sendiri pun dilanggar secara semberono.

“Jadi, tidak perlulalah anda bercakap mengenai “moral courage” apabila apa yang anda lakukan terhadap BERSATU adalah langsung tidak bermoral dan tidak berperlembagaan,” katanya.

Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi mendakwa Bersatu terkeluar secara automatik daripada PN susulan hasrat parti itu untuk membentuk gabungan baharu.

Abdul Hadi berkata, PN tidak perlu membuat pemberitahuan secara rasmi kepada Bersatu berhubung kedudukannya dalam gabungan itu kerana parti berkenaan dianggap terkeluar dengan sendirinya selepas menyatakan hasrat untuk membentuk gabungan lain.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyangkal kenyataan Abdul Hadi itu dan menegaskan parti berkenaan masih merupakan anggota sah PN memandangkan tiada mana-mana fasal dalam Perlembagaan PN yang memperuntukkan keanggotaan parti anggota tergugur dengan sendirinya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast