Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap kepada media selepas melepaskan peserta Program Pelepasan Jelajah motosikal berkuasa tinggi STAR CITY FC di Dataran Masjid Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 09 OGOS 2026.

PUTRAJAYA – Kerajaan akan meneliti semula skop pemeriksaan bagasi di lapangan terbang termasuk keupayaan mengesan barang kontraban, disamping mempertimbangkan penggunaan teknologi lebih maju bagi memperkukuh keselamatan di pintu masuk negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ketika ini proses pemeriksaan bagasi dikendalikan oleh Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) dengan keutamaan diberikan kepada ancaman melibatkan senjata, selaras dengan piawaian yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

“Soal pemeriksaan bagasi dibuat oleh AVSEC, Polis Bantuan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) dan keutamaanya adalah sesuai dengan standard pemeriksaan lapangan antarabangsa di bawah ICAO.

“Jadi tumpuan keutamaannya, lebih kepada senjata…senjata api, senjata tajam, bom dan sebagainya. Ini kejadian kontraband, ya. Dia tak ada kurangnya dari segi mesin imbas. Tak ada,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perlepasan Jelajah Star City FC di Dataran Masjid Putrajaya di sini, hari ini.

Tambah Saifuddin Nasution, berdasarkan taklimat yang diperolehi, mesin pengimbas sedia ada mempunyai keupayaan tinggi bagi mengesan barangan tertentu, namun skop pemeriksaan ketika ini lebih tertumpu kepada elemen persenjataan.

“Saya diberi taklimat  Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, mesin imbas kita ada keupayaan semuanya tapi dari sudut skop pemeriksaan itu tumpuan lebih kepada elemen persenjataan.

“Jadi elemen kontraband walaupun dikesan, kami tengok ini antara aspek penambahbaikan yang perlu ditumpukan sesuai dengan kepakaran pegawai yang memeriksa,” jelasnya.

Mengulas sama ada mesin pengimbas akan ditambah baik, Saifuddin Nasution berkata, kerajaan tidak akan hanya bergantung kepada peralatan sedia ada, sebaliknya terbuka kepada perkembangan teknologi baharu.

“Dalam sistem pemeriksaan pintu masuk lapangan terbang ini, ada pelbagai peralatan yang jauh lebih canggih, lebih berkeupayaan tinggi. Jadi, kita sentiasa terbuka terhadap idea untuk mengguna pakai segala jenis kelengkapan baharu,” ujarnya lagi.

Tambahnya, kerajaan juga akan meneliti keseluruhan aspek berkaitan bagi mengenal pasti punca kelemahan dan langkah segera untuk mengatasinya. – MalaysiaGazete

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast