ISKANDAR PUTERI – Polis sedang mengenal pasti identiti mayat seorang wanita yang ditemukan terapung dalam kolam tadahan air di Bandar Pulai Jaya, Kangkar Pulai di sini malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintendan Saifullah Jaya@Yahaya berkata, keadaan mayat ketika ditemui sudah mereput ketika ditemui oleh orang awam.
“Mayat berkenaan ditemukan dalam keadaan terapung dan telah mengalami proses pereputan. Dengan bantuan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, mayat berjaya dibawa keluar dari kolam tersebut.
“Berdasarkan pemeriksaan awal, mayat dipercayai seorang wanita. Identiti dan punca kematian masih belum dapat dipastikan. Setakat ini, tiada unsur jenayah dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, nayat dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk proses bedah siasat dan pengecaman.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu hasil bedah siasat serta siasatan lanjut.
Terdahulu portal ini melaporkan penemuan mayat tersebut di tepi tebing kolam berkenaan dan video penemuan berkenaan tular dalam media sosial.- MalaysiaGazette
















