KUALA LUMPUR – Perbahasan mengenai sejarah dan identiti kaum Cina dan India di negara ini tidak boleh membawa kepada penafian terhadap kewarganegaraan rakyat yang telah diiktiraf menurut undang-undang.
Pakar Perundangan Perlembagaan dan Undang-Undang Awam, Datuk Prof Madya Shamrahayu Ab Aziz berkata, apa juga perbahasan mengenai kedudukan sejarah sesuatu bangsa perlu dibezakan daripada hak dan status kewarganegaraan dalam negara moden.
“Kita tidak boleh nafikan kewarganegaraan,” katanya berucap pada Forum ‘Kontroversi Tanah Melayu: Menyelesaikan Polemik dan Membina Kesepakatan’ di Menara Hidayah, Wangsa Maju, di sini, hari ini.
Menurut beliau, kewarganegaraan merupakan perkara yang mempunyai kedudukan tersendiri di sisi Perlembagaan dan undang-undang.
“Justeru, perbahasan berkaitan identiti, sejarah dan asal-usul masyarakat perlu dilakukan dengan mengambil kira realiti bahawa Malaysia hari ini merupakan sebuah negara yang mempunyai rakyat daripada pelbagai latar belakang,” katanya.
Beliau berkata, usaha memahami sejarah Tanah Melayu tidak seharusnya diterjemahkan kepada tindakan menafikan kewarganegaraan mana-mana pihak yang sah di sisi undang-undang.
“Sebaliknya, sejarah perlu difahami bagi menjelaskan proses pembentukan negara, manakala kewarganegaraan pula perlu dihormati berdasarkan kerangka Perlembagaan.
“Pendekatan tersebut penting bagi memastikan perbahasan mengenai identiti dan sejarah tidak menjadi punca perpecahan masyarakat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















