Pengarah Pusat Pengajian Ketamadunan Melayu-Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM), Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican berucap dalam Forum Kontroversi Tanah Melayu: Menyelesaikan Polemik dan Membina Kesepakatan di Menara Hidayah, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Orang Melayu tidak perlu berada dalam keadaan terpaksa membukti atau menjustifikasikan keberadaan mereka di Tanah Melayu kerana kedudukan tersebut mempunyai akar sejarah yang panjang dan tidak boleh dipisahkan daripada pembentukan masyarakat serta identiti negara.

Pengarah Pusat Pengajian Ketamadunan Melayu-Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM), Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican berkata, masyarakat Melayu perlu memahami sejarah dan identiti mereka tanpa rasa tidak yakin terhadap kedudukan sendiri di bumi yang mempunyai hubungan sejarah dengan bangsa Melayu.

Menurut beliau, pemahaman terhadap istilah seperti Tanah Melayu, tanah air dan dunia Melayu perlu dilihat dalam kerangka sejarah serta peradaban yang lebih luas dan tidak disempitkan kepada sempadan politik moden semata-mata.

“Orang Melayu tidak perlu justifikasi keberadaan mereka di Tanah Melayu. Kita tahu kita berada di bumi ini dan kita tahu sejarah kita.

“Tidak perlu kita sentiasa bercerita atau memberi justifikasi mengenai keberadaan kita di tempat ini,” katanya berucap dalam Forum Kontroversi Tanah Melayu: Menyelesaikan Polemik dan Membina Kesepakatan di Menara Hidayah, Wangsa Maju, di sini, hari ini.

Pengarah Pusat Pengajian Ketamadunan Melayu-Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM), Datuk Prof Dr Ahmad Murad Merican dan Pakar Perundangan Perlembagaan dan Undang-Undang Awam, Datuk Prof Madya Shamrahayu Ab Aziz pada Forum Kontroversi Tanah Melayu, Menyelesaikan Polemik, Membina Persepakatan anjuran Gabungan Nasionalis di Menara Hidayah, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, hari ini.

Ahmad Murad juga berkata, persoalan identiti Melayu tidak seharusnya dilihat sebagai usaha menolak kewujudan masyarakat lain, sebaliknya perlu difahami berdasarkan sejarah panjang interaksi masyarakat Melayu dengan pelbagai bangsa dan tamadun.

Menurutnya, masyarakat Melayu secara sejarahnya bukan bangsa yang menutup pintu kepada orang luar kerana kedudukan rantau Melayu yang strategik menjadikannya sebahagian dari laluan perdagangan dan pertemuan pelbagai tamadun.

“Ini bukan soal xenofobia. Melayu bukan tidak menerima orang luar. Selama lebih 2,000 tahun, rantau ini menerima pelbagai bangsa dan tamadun,” katanya.

Menurut Ahmad Murad, kekeliruan berlaku apabila konsep ‘tanah air’ dan ‘Tanah Melayu’ hanya ditafsirkan secara literal sebagai tanah dan air, sedangkan kedua-duanya mempunyai makna gagasan yang lebih luas dalam sejarah serta kesedaran masyarakat Melayu.

“Sebahagian masyarakat Melayu menggunakan istilah seperti ‘kita semua anak Malaysia’ atau ‘kita semua warga Malaysia’ tanpa pada masa sama memahami latar sejarah yang membentuk identiti masyarakat di negara ini,” katanya.

Jelasnya, identiti sebagai warganegara Malaysia tidak sepatutnya menyebabkan seseorang kehilangan kefahaman terhadap akar sejarah dan kebudayaan sendiri.

“Menjadi warga Malaysia tidak bermakna kita perlu melupakan sejarah. Kita boleh menjadi warga Malaysia dan pada masa sama memahami siapa kita serta bagaimana tanah air ini terbentuk,” katanya.

Menurut beliau, persoalan tersebut menjadi lebih penting ketika pelbagai naratif sejarah berkembang melalui buku, media sosial, blog, YouTube dan platform digital, malah perkembangan teknologi membuka ruang kepada pelbagai tafsiran sejarah.

“Masyarakat Melayu perlu lebih aktif dalam menghasilkan kajian, penerbitan dan penceritaan sejarah sendiri supaya sejarah tidak hanya diceritakan dari satu perspektif,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa pembelaan terhadap sejarah Melayu tidak seharusnya diterjemahkan sebagai penolakan terhadap masyarakat lain.

“Sebaliknya, sejarah perlu dipelajari dengan ilmu dan penelitian supaya identiti sesuatu bangsa dapat difahami tanpa menafikan realiti masyarakat majmuk,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast