JOHOR BAHRU – Exco Pemuda Amanah Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda mempersoalkan sama ada lima ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang ditarik peruntukan kerana terdapat usaha mereka untuk menjatuhkan kerajaan.
Ahli Majlis Pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) Johor berkata, beliau faham sekiranya tindakan tersebut dilakukan terhadap ahli Parlimen pembangkang atas sebab mahu menggugat kestabilan politik.
“Kami faham bahawa peruntukan sebegini tidak diterima oleh Ahli Parlimen pembangkang atas keengganan mereka untuk menandatangani MoU (perjanjian persefahaman) bagi memastikan kestabilan kerajaan.
“Tetapi adakah Ahli Parlimen kerajaan yang ditarik peruntukan ini juga atas asas yang sama iaitu terdapat usaha mereka untuk menjatuhkan kerajaan?
“Kami menyeru YAB Perdana Menteri supaya meneliti semula perkara ini dan memastikan agenda reformasi tidak terjejas oleh percaturan politik dalaman,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, tindakan tersebut hanya menguatkan keperluan untuk penjelasan terbuka terutama ketika perkembangan ini berlaku selepas pergolakan dalaman parti.
Katanya, Pakatan Harapan (PH) sedang berusaha membina semula keyakinan penyokong selepas beberapa kekalahan siri pilihan raya sebelum ini.
“Cukuplah memberi peluru hidup kerana mana-mana pihak dan sebaliknya laksanakanlah agenda reformasi yang tertunggak berbekalkan baki masa yang tidak seberapa lama pun lagi,” katanya.
Sementara itu, Fadhli Umar turut melahirkan rasa amat kecewa dengan kenyataan Setiausaha Politik Perdana Menteri bahawa beliau dilantik sebagai Penyelaras Parlimen Ampang yang disifatkan menimbulkan persoalan serius terhadap komitmen PH terhadap semangat reformasi.
Jelasnya, reformasi menuntut penghormatan terhadap mandat rakyat serta memastikan wakil rakyat yang dipilih dapat menjalankan tanggungjawab tanpa halangan politik.
“Apabila akses kepada peruntukan kawasan disekat dan kemudiannya diselaraskan melalui pejabat pegawai yang dilantik, perkara ini boleh menimbulkan persepsi bahawa peranan Ahli Parlimen sedang diketepikan,” ujarnya.
Jika tujuannya untuk memastikan bantuan disampaikan dengan lebih tersusun, beliau berkata, akses sewajarnya dikembalikan kepada Ahli Parlimen berkenaan dengan mekanisme pemantauan yang jelas dan telus.
Perkara itu juga, katanya, selari dengan komitmen Pakatan Harapan dalam Tawaran Harapan PRU-15 yang menjanjikan peruntukan kawasan secara sama rata kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti.
Semalam, lima wakil rakyat PKR mengakui kecewa apabila parti itu menyekat Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail daripada akses portal peruntukan khas (MyKhas).
Mereka dalam kenyataan bersama menyifatkan tindakan itu sebagai salah guna kuasa serius, sekali gus menafikan hak Rodziah untuk menguruskan peruntukan Parlimen Ampang.
Kumpulan Ahli Parlimen itu turut memberi peringatan tegas mengenai peruntukan kawasan melalui MyKhas bukan hadiah daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada wakil rakyat.
Lima wakil rakyat itu ialah Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Lee Chean Chung (Petaling Jaya); Rodziah; S Kesavan (Sungai Siput) dan Zahir Hassan (Wangsa Maju).- MalaysiaGazette
















