KUALA LUMPUR –Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendoakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dikurniakan kesembuhan yang segera.
Menurut Perdana Menteri, beliau dan Wan Azizah turut mendoakan segala urusan rawatan Fadillah dan Ismail Sabri dipermudah, serta terus dikurniakan keafiatan dan kekuatan untuk meneruskan khidmat kepada rakyat dan negara.
Terdahulu, kata Anwar, beliau dan Wan Azizah semalam berkesempatan menziarahi Fadillah yang kini sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Beliau turut melahirkan rasa syukur dengan keadaan kesihatan Fadillah yang semakin baik, meskipun masih memerlukan rehat yang secukupnya atas nasihat pasukan perubatan.
“Atas dasar persahabatan, kami turut menziarahi bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang juga sedang menerima rawatan di IJN dan masih memerlukan pemantauan lanjut.
“Saya dan Azizah mendoakan agar kedua-duanya dikurniakan kesembuhan yang segera, dipermudah segala urusan rawatan serta terus dikurniakan keafiatan dan kekuatan untuk meneruskan khidmat kepada rakyat dan negara, insya-Allah,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Fadillah akan menjalani pembedahan pintasan jantung di IJN dalam masa terdekat atas nasihat pasukan pakar perubatan.
Sementara itu, Ismail Sabri kelmarin pula selamat menjalani prosedur pemasangan perentak jantung tanpa wayar bagi merawat masalah rentak jantung tidak normal yang dialaminya. – MalaysiaGazette
















