MELAKA – Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh menegaskan pintu rundingan pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sentiasa terbuka kepada mana-mana parti yang berminat.
Bagaimanapun, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka itu berkata, sebarang hasrat berkaitan pembahagian kerusi tidak seharusnya disuarakan menerusi media sosial kerana akan membentuk satu persepsi yang kurang sihat.
“Kepada semua parti yang terlibat boleh datang berunding, tidak perlu suarakan dalam media sosial sebaliknya perlu dibincangkan secara bersemuka bersama Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atau bertemu saya sendiri.
“Rundingan sentiasa terbuka untuk melihat bagaimana kebersamaan ini boleh dijadikan satu kenyataan selain membentuk satu pasukan yang kuat bagi mempertahankan negeri Melaka yang kita terajui,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Penutupan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Tangga Batu: Kampung Kita Dun Paya Rumput, di perkarangan Stadium Hang Jebat, Krubong, di sini, malam tadi.
Hadir sama dalam program yang turut meraikan Hari Landskap Negara itu ialah Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim Dan Pengurusan Bencana merangkap ADUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin.
Menurut Ab. Rauf, setakat ini tiada rundingan dilaksanakan secara rasmi dan jika itu berlaku pastinya perlu melalui proses menilai, mengkaji serta memberikan pandangan sekiranya ia memberikan peluang baik kepada BN dan Perikatan Nasional (PN).
“Saya harap kita hentikan seketika rundingan politik melalui media sosial, kita runding dalam meja perundingan yang lebih bijaksana,” Jelas Ab.Rauf.
Beliau menambah, BN Melaka akan terus mempertahankan ke semua 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang dimenangi pada 2021.
Ujarnya, kedudukan Parlimen tidak boleh dijadikan ukuran dalam menentukan pengagihan kerusi bagi PRN Melaka, kerana BN telah berusaha meyakinkan rakyat serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka.
Pada majlis sama, beliau turut memberitahu lebih 400 program pelaksanaan WRUR peringkat Parlimen Tangga Batu telah dilaksanakan bagi menyantuni, mendengar masalah seterusnya membantu rakyat.
Semalam, Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, semua parti dalam PN dan BN digesa mengamalkan sikap bertolak ansur dalam rundingan pembahagian kerusi menjelang PRN Melaka.
Ujarnya, kepentingan gabungan perlu mengatasi kepentingan mana-mana parti sekiranya PN-BN mahu meneruskan momentum kemenangan yang disifatkannya sebagai “Gelombang Biru”.
Menurut Hamzah, Wawasan juga mahu mempertahankan dua kerusi DUN yang kini disokong parti itu iaitu Bemban dan Sungai Udang. – MalaysiaGazette
















