KUALA LUMPUR – Sistem pendidikan yang bergerak secara berasingan daripada sistem nasional seperti Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) boleh dilihat sebagai satu bentuk ‘pengasingan diri’ yang perlu dibincangkan dalam konteks pembinaan identiti dan kesepaduan negara.
Pengarah Pusat Pengajian Ketamadunan Melayu-Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM), Datuk Prof Dr Ahmad Murad Merican berkata, persoalan pendidikan, bahasa dan budaya tidak boleh dipisahkan daripada perbincangan mengenai pembentukan identiti nasional.
Menurut beliau, kewujudan institusi atau sistem yang bergerak secara berasingan daripada arus nasional perlu dinilai secara kritikal kerana ia boleh mempengaruhi proses pembentukan identiti bersama dalam kalangan rakyat.
“UEC, misalnya, adalah satu contoh pengasingan diri. Kenapa mereka mengasingkan satu sistem daripada sistem nasional?” katanya berucap pada Forum ‘Kontroversi Tanah Melayu: Menyelesaikan Polemik dan Membina Kesepakatan’ di Menara Hidayah, Wangsa Maju, di sini, hari ini.
Ahmad Murad berkata, isu tersebut tidak seharusnya dilihat semata-mata daripada sudut pendidikan, sebaliknya perlu diperhalusi dari aspek bahasa, budaya, institusi dan pembentukan identiti nasional.
Katanya, cabaran utama bagi Malaysia ialah bagaimana kepelbagaian budaya dan bahasa dapat terus dipelihara tanpa mewujudkan kelompok masyarakat yang bergerak dalam lingkungan institusi masing-masing secara terasing.
“Perbezaan budaya tidak semestinya menjadi masalah dalam sebuah negara majmuk.
“Persoalan yang lebih besar ialah sejauh mana kepelbagaian tersebut dapat disatukan melalui institusi nasional yang dikongsi bersama,” katanya.
Ahmad Murad turut mengaitkan isu tersebut dengan perkembangan institusi dan penggunaan bahasa yang membentuk identiti kelompok masyarakat.
Menurutnya, bahasa bukan sekadar alat komunikasi tetapi turut memainkan peranan dalam membentuk cara masyarakat melihat sejarah, budaya dan kedudukan mereka dalam negara.
“Bahasa, budaya dan institusi merupakan sebahagian daripada proses pembentukan identiti,” katanya.
Beliau berkata, apabila masyarakat membina institusi tersendiri dan bergerak dalam sistem yang berbeza daripada arus nasional, persoalan mengenai integrasi serta identiti bersama perlu diberi perhatian.
Dalam konteks Malaysia, beliau berpandangan perbincangan mengenai sistem pendidikan perlu mengambil kira sejarah pembentukan negara dan keperluan membina kesepaduan nasional.
“Perkara itu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menafikan kewujudan atau kebudayaan mana-mana kelompok masyarakat.
“Sebaliknya, perbincangan perlu dilakukan secara terbuka dengan mengambil kira sejarah, hak masyarakat serta kepentingan pembinaan negara,” jelasnya.
Dalam pada itu, katanya, perbahasan mengenai UEC dan sistem pendidikan tidak sepatutnya dibawa ke tahap pertentangan kaum.
Menurut beliau, isu tersebut perlu dilihat dalam kerangka yang lebih luas berkaitan pembentukan negara, identiti dan institusi nasional.
“Yang kita bincangkan ialah sistem dan institusi, bukan untuk menolak sesuatu kaum,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















