SHAH ALAM – Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempersoalkan kemampuan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk terus menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri susulan kedudukan kewangannya yang didakwa semakin tertekan.
Beliau mendakwa, keuntungan sebelum cukai PKNS sebanyak RM148.81 juta pada 2023 bertukar kepada kerugian RM67.15 juta pada 2024, manakala kerugian berkenaan meningkat kepada RM103.69 juta dalam tempoh enam bulan pertama 2025.
Menurutnya, lebih membimbangkan, hutang PKNS terus meningkat daripada RM4.96 bilion pada 2023 kepada RM5.44 bilion pada 2024 sebelum mencecah RM6.1 bilion dalam tempoh enam bulan pertama 2025.
“Profit margin PKNS menyusut dari 22.8 peratus pada 2023 kepada 14.31 peratus pada 2024 dan hanya satu peratus dalam tempoh enam bulan pertama 2025.
“Bagaimana PKNS mempunyai keupayaan untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri apabila mencatatkan hutang yang membengkak, pulangan semakin menguncup dan keupayaan membayar hutang sangat lemah,” soalnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rancangan Selangor Kedua (RS2) bagi tempoh 2026 hingga 2030 di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.
Menurut Azmin, debt protection ratio PKNS juga semakin mengecil dari 1.62 kali kepada 0.79 kali dan hanya 0.08 kali dalam tempoh enam bulan pertama 2025.
Azmin turut memberi amaran mengenai risiko kepelbagaian perniagaan PKNS yang mempunyai mandat luas merangkumi perumahan, waste-to-energy, hospital, penjagaan kesihatan, urban regeneration, tenaga, zon industri dan pelabuhan.
“PKNS sedang mengalami kerugian, hutang semakin membebankan. Apakah PKNS masih boleh berdiri dan menyumbang kepada matlamat RS2?” katanya.
Beliau turut mengkritik tindakan PKNS menjual tanah sebagai kaedah memperkukuh aliran tunai di mana sebanyak 3,390 ekar tanah di Bernam Jaya dijual pada harga RM1.17 bilion kepada Eastern Ecotourism City Sdn Bhd (EEC) pada 2019.
Namun sehingga akhir 2024, EEC hanya membayar 21 peratus dari harga jualan dipersetujui, manakala baki RM920.7 juta masih gagal dikutip.
“Semakin lama tertangguh, semakin rendah kemampuan PKNS untuk menjadi pemangkin kepada pembangunan RS2,” katanya.
Azmin turut mencadangkan sekiranya kerajaan negeri bercadang menamatkan kontrak Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, pemilihan pengganti perlu dibuat secara ketat dengan mengutamakan integriti serta pengalaman kewangan dan pembangunan hartanah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















