SHAH ALAM – Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) meneruskan cadangan pembangunan padang golf di Sepang walaupun kerajaan negeri sebelum ini menyatakan cadangan itu masih di peringkat awal dan akan diteliti semula.
Mohamed Azmin berkata, beliau pernah membangkitkan isu berkenaan dalam Dewan Negeri Selangor pada Ogos tahun lalu selepas PKNS didakwa melantik perunding bagi menjalankan Kajian Impak Sosial (SIA) untuk pembangunan padang golf dan rumah kelab di atas tanah seluas 167.47 ekar.
Katanya, cadangan menukar pelan susun atur tanah daripada lot industri kepada padang golf 18 lubang menimbulkan persoalan kerana Sepang merupakan antara daerah yang mempunyai permintaan tinggi terhadap perumahan.
“Pagi ini saya ingin membuktikan bahawa pembangunan padang golf oleh PKNS di Sepang diteruskan.
“Gegantung mula dipasang di sepanjang Persiaran Cyber Valley 3 berdekatan projek PKNS Residensi Aurora dan perumahan mampu milik RSKU Idaman yang saya usahakan sebelum ini.
“Gegantung berkenaan memaparkan tema ‘Destinasi Pilihan Pencinta Golf’ dengan PKNS dinamakan sebagai pemaju,” katanya ketika membahaskan Rancangan Selangor Kedua (RS2) bagi tempoh 2026 hingga 2030 di Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Mohamed Azmin kemudian mempersoalkan keutamaan pembangunan berkenaan.
“Bagaimana dengan pencinta perumahan mampu milik di kalangan pasangan baharu dan rakyat Selangor?” soalnya.
Menurutnya, isu itu perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri kerana pembangunan ekonomi Selangor tidak seharusnya hanya menumpukan projek bernilai komersial tetapi turut memenuhi keperluan asas rakyat.
Mohamed Azmin turut menggesa sekiranya berlaku pertukaran kepimpinan tertinggi PKNS, calon Ketua Pegawai Eksekutif baharu perlu mempunyai integriti serta pengalaman dalam kewangan dan pembangunan hartanah.
“PKNS perlu kembali memainkan peranan sebagai pemangkin pembangunan negeri dan bukan bergantung kepada penjualan aset atau tanah bagi mengukuhkan aliran tunai,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















