KUALA LUMPUR – Balai Seni Negara Cawangan Langkawi dengan kerjasama Chetak 17 mengadakan Pameran PrintLab: Melakar Kenangan, Mencetak Impian, yang mengangkat seni cetak sebagai medium untuk merakam pengalaman, meneroka landskap serta menzahirkan tafsiran seniman terhadap ruang dan persekitaran.
Pameran itu merupakan usaha Balai Seni Negara Cawangan Langkawi dalam memperkasa seni cetak sebagai sebahagian daripada medium seni visual, selain menyediakan ruang kepada seniman untuk berkarya, bereksperimentasi dan berkongsi pengalaman pengkaryaan dengan masyarakat.
Kerjasama bersama Chetak 17 itu menghimpunkan karya seni cetak yang memperlihatkan kepelbagaian pendekatan, pemikiran serta bahasa visual seniman dalam meneroka hubungan antara manusia, alam, budaya dan pengalaman kehidupan.
Pameran berkenaan menampilkan karya sembilan seniman yang juga merupakan ahli Chetak 17, iaitu Bayu Utomo Radjikin, Allahyarham Samsudin Wahab, Faizal Suhif, Haslin Ismail, Azam Aris, Fadhli Ariffin, Fadli Mokhtar, Luqman Yusry dan Iward Mahadi.
Pameran itu turut didedikasikan khas kepada Allahyarham Samsudin Wahab, pengasas bersama Chetak 17 yang meninggal dunia pada 7 Mei 2026.
Dedikasi beliau terhadap seni cetak serta kepercayaan terhadap semangat kolektif terus menjadi sumber inspirasi kepada komuniti seni cetak tanah air.
Konsep Melakar Kenangan, Mencetak Impian merujuk kepada proses penghasilan seni cetak yang bermula dengan lakaran berdasarkan pemerhatian, pengalaman dan memori sebelum diterjemahkan ke atas plat cetakan untuk menghasilkan karya akhir.
Dalam konteks lebih luas, proses berkenaan mencerminkan bagaimana pengalaman dan pemerhatian terhadap sesuatu ruang dapat diterjemahkan melalui bahasa seni visual, dengan setiap lakaran menjadi titik permulaan kepada penerokaan, manakala hasil cetakan berfungsi sebagai dokumentasi pengalaman seniman.
Selaras dengan peranan Balai Seni Negara Cawangan Langkawi sebagai ruang yang menyokong perkembangan seni visual di wilayah utara, pameran itu turut mempersembahkan siri Printmaking In-Situ – Lakar Terus yang dihasilkan secara langsung di beberapa lokasi terpilih sekitar Pulau Langkawi.
Antara lokasi berkenaan ialah Gunung Raya, Rumah Api Pantai Kok, Taman Lagenda, Pulau Pasir, Pulau Dangli dan Air Terjun Temurun.
Penghasilan siri itu turut melibatkan artis jemputan seperti Bayu Utomo Radjikin, Shahrin Zainurin, Faizal Suhif, Haslin Ismail, Azam Aris, Asraf Hidayat, Fadli Mokhtar, Fuad Pathil dan Iward Mahadi.
Orang ramai dijemput mengunjungi Pameran PrintLab: Melakar Kenangan, Mencetak Impian di Balai Seni Negara Cawangan Langkawi yang berlangsung sehingga 27 Februari 2027. – MalaysiaGazette















