KUALA LUMPUR: Sebarang pemindahan kuil berhampiran Lebuhraya Pantai Baru (NPE) perlu dilakukan secara tertib dengan memberikan tempoh munasabah bagi membolehkan ritual keagamaan masyarakat Hindu dilaksanakan.
Presiden Majlis Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan-Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima), Datuk N Sivakumar berkata, pihaknya tidak membantah sekiranya pemindahan kuil berkenaan menjadi penyelesaian yang dipersetujui semua pihak melalui proses yang betul.
Menurut beliau, perkara utama ketika ini adalah mencari jalan penyelesaian secara berhemah menerusi perbincangan dan persefahaman bersama pihak berkaitan tanpa mengeruhkan keadaan.
“Jika sesuatu isu masih boleh diselesaikan melalui perbincangan, persefahaman dan jalan penyelesaian yang baik bersama pihak berkaitan, maka pendekatan tersebut perlu diberikan keutamaan terlebih dahulu sebelum mengambil langkah melalui saluran undang-undang.
“Sekiranya pemindahan kuil merupakan satu penyelesaian yang dipersetujui melalui proses yang betul, ia perlu dilakukan secara tertib dengan memberikan masa yang munasabah serta menghormati ritual dan kepercayaan masyarakat Hindu,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Sivakumar berkata, Mahima turut mengambil maklum pelbagai persoalan yang dibangkitkan berhubung status tanah, kelulusan serta kedudukan rumah ibadat berkenaan.
Katanya, perkara itu tidak seharusnya ditentukan berdasarkan dakwaan mana-mana pihak sebaliknya perlu merujuk fakta dan rekod rasmi pihak berkuasa termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi berkaitan.
Dalam pada itu, beliau sekali lagi menegaskan pendirian Mahima yang tidak bersetuju dengan penggunaan istilah ‘kuil haram’ dalam membincangkan pertikaian berkaitan rumah ibadat.
“Mahima tidak bersetuju dengan penggunaan istilah seperti ‘kuil haram’ kerana ia boleh menimbulkan salah faham dan menyentuh sensitiviti keagamaan.
“Jika isu sebenar berkaitan tanah atau kelulusan, nyatakan berdasarkan fakta dan kedudukan undang-undang,” tegasnya.
Pada masa sama, Sivakumar merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kerjasama dengan pihak pengurusan kuil dan masyarakat setempat dalam memastikan keadaan kekal terkawal serta harmoni.
Beliau turut berharap semua pihak memberi ruang kepada DBKL dan agensi berkaitan untuk mencari penyelesaian menerusi saluran yang betul serta mengelakkan tindakan atau kenyataan yang boleh memanjangkan polemik.
“Selepas satu penyelesaian dicapai, semua pihak perlu menghormati keputusan tersebut dan tidak lagi menjadikan isu ini sebagai polemik yang berpanjangan,” katanya.
Menurut Sivakumar, perkembangan membabitkan kuil NPE itu turut menunjukkan keperluan kerajaan mewujudkan mekanisme lebih tersusun bagi menguruskan hal ehwal rumah ibadat bukan Islam di negara ini.
Sehubungan itu, Mahima mencadangkan kerajaan mempertimbangkan penubuhan sebuah jawatankuasa khas di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi membolehkan isu berkaitan rumah ibadat ditangani secara lebih teratur dan proaktif.
Katanya, mekanisme sedemikian penting khususnya bagi menangani isu berkaitan tanah, kelulusan dan kedudukan rumah ibadat sebelum ia berkembang menjadi pertikaian lebih besar dalam masyarakat.
“Malaysia adalah negara berbilang kaum dan agama. Penyelesaian terbaik adalah melalui kebijaksanaan, rasa hormat dan semangat keharmonian,” katanya.
Semalam, MalaysiaGazette melaporkan Pemuda Pas Lembah Pantai tampil membangkitkan persoalan mengenai status pemilikan tanah, kelulusan pembinaan serta kebenaran menduduki tapak kuil berhampiran NPE berkenaan.
Pemuda Pas Lembah Pantai turut meminta perkara itu disahkan berdasarkan rekod dan dokumen rasmi pihak berkuasa termasuk PTG, PBT serta pihak yang menguruskan lebuh raya berkenaan.
Ia susulan kenyataan pihak Hindu Task Force bahawa kuil terbabit akan dipindahkan dari kawasan berkenaan, dengan Pemuda Pas Lembah Pantai mahu komitmen itu dilaksanakan. -MalaysiaGazette
Pemuda Pas Minta Pihak Berkuasa Nyata Status Kuil Tepi NPE #MGFlash
















