Exco Armada Bersatu, Na’im Brundage.

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Selangor diminta tidak memutarbelitkan fakta berhubung kemelut pembahagian kerusi Perikatan Nasional (PN), sebaliknya menjelaskan tindakan segelintir pemimpin PAS yang didakwa membelakangkan Perlembagaan PN.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Na’im Brundage berkata, pihaknya mengambil maklum usul Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor yang mencadangkan supaya Pas mengambil alih kepimpinan PN Selangor susulan dakwaan Bersatu ‘mengkhianati’ PN berhubung pertembungan kerusi dalam Pilihan Raya (PRN) Negeri Sembilan.

Menurutnya, dakwaan tersebut merupakan cubaan mencipta persepsi tidak benar terhadap Bersatu selain memutarbelitkan kronologi sebenar berhubung pertembungan kerusi berkenaan.

“Pada 16 Julai 2026, wakil Bersatu telah dihalang daripada menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang membuat keputusan berkaitan pengagihan kerusi serta kerjasama dengan Barisan Nasional (BN).

“Tindakan tersebut jelas bercanggah dengan Fasal 7.1 Perlembagaan PN, yang memberikan setiap parti anggota hak penuh untuk hadir, memberikan pandangan dan mengundi dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Na’im berkata, jika istilah ‘pengkhianatan’ mahu digunakan, tindakan yang wajar dipersoalkan adalah perbuatan segelintir pemimpin Pas yang didakwa membelakangkan Perlembagaan PN dan mengenepikan hak Bersatu sebagai parti anggota dalam proses membuat keputusan.

“Jika istilah ‘pengkhianatan’ benar-benar mahu digunakan, maka pengkhianatan yang sebenar ialah tindakan segelintir pemimpin Pas yang telah membelakangkan Perlembagaan PN, mengenepikan hak Bersatu sebagai parti anggota dalam proses membuat keputusan dan kemudian memilih untuk bekerjasama dengan musuh politik PN, iaitu BN,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Dewan Pemuda Pas Selangor sewajarnya meneliti semula Perlembagaan PN serta mendapatkan penjelasan daripada kepimpinan Pas berhubung tindakan yang didakwa membelakangkan Perlembagaan dan prinsip perjuangan PN.

Katanya, perkara itu perlu dilakukan sebelum Dewan Pemuda Pas Selangor mempersoalkan kedudukan serta kepimpinan Bersatu dalam PN Selangor.

“Sebagai sebuah sayap pemuda kepada parti politik yang sentiasa mendakwa membawa nama dan perjuangan Islam, Dewan Pemuda Pas Selangor juga sewajarnya mengamati semula ajaran Islam mengenai kewajipan berkata benar, berlaku adil, dan menjauhi fitnah, khususnya sebelum melemparkan tuduhan terhadap pihak lain,” katanya.

Semalam, Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata usaha penyatuan ummah perlu menjadi keutamaan berbanding perebutan kerusi pilihan raya antara parti politik, khususnya melibatkan UMNO dan Pas di Selangor.

Beliau berkata, fokus utama ketika ini ialah mencari titik persamaan yang mampu mewujudkan kestabilan politik serta memberi manfaat kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama. – MalaysiaGazette

Ketepikan perebutan kerusi, utamakan penyatuan ummah – Ketua Pemuda Pas Selangor

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast