KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa Kerajaan Madani tidak membayar sepenuhnya komitmen kewangan yang dipersetujui untuk memulihkan Lembaga Tabung Haji (TH).
Presiden Parti Bersama Malaysia (Bersama) berkata, kerajaan sewajarnya melunaskan komitmen untuk menebus sepenuhnya sejumlah RM12.5 bilion yang perlu dibayar kepada TH, sama ada dalam bentuk tunai atau aset yang setara nilai.
Menurutnya, ini akan menggantikan sejumlah RM12.5 bilion aset TH dari aset atas kertas yang tiada aliran tunai iaitu daripada sukuk Urusan Jamaah Sdn Bhd (UJSB) kepada aset yang ada aliran tunai dan cair (wang, saham, hartanah dan seumpamanya).
Bagaimanapun, ujarnya, daripada jumlah RM12.5 bilion yang perlu dilunaskan, hanya RM965 juta adalah dalam bentuk hartanah iaitu sebidang tanah di TRX dan tanah-tanah ladang di Sarawak.
Tambahnya, jumlah berbaki RM11.5 bilion dilunaskan dalam bentuk satu lagi sukuk baru, yang akan matang dalam tempoh 10 tahun yang mana kerajaan perlu membayar TH RM11.5 bilion dalam 2036.
“Sepanjang saya menjadi Menteri Ekonomi, saya ingat kerajaan memang membuat peruntukan lebih dari RM1 bilion setahun untuk melunaskan sukuk UJSB ini bila matang pada 29 Mei 2026.
“Oleh itu, sewajarnya perbahasan Parlimen esok mendapat penjelasan yang berterus terang daripada kerajaan ke mana wang berbilion yang diperuntukkan selama ini untuk memulihkan Tabung Haji telah pergi?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Rafizi, sekiranya kerajaan sekarang dan selepas ini terus menangguhkan komitmen melunaskan sukuk UJSB ke masa akan datang dengan terus menggantikan satu kertas hutang kepada kertas hutang yang baru, TH akan terus berdepan dengan risiko kecairan aset dan aliran tunai di masa akan datang. – MalaysiaGazette
















