KEMAMAN – Operasi khas bagi mengesan suspek kes rogol membabitkan seorang mangsa orang kurang upaya (OKU) di Bakau Tinggi, Kemaman, awal pagi tadi membawa kepada pemeriksaan terhadap 33 individu.
Operasi PATI Khas yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Terengganu itu bermula 12.01 tengah malam hingga 6 pagi tadi.
Polis Terengganu menerusi Facebook memaklumkan, daripada jumlah itu, seramai 27 individu merupakan warga asing, manakala enam lagi warga tempatan.
Katanya, kesemua individu yang diperiksa membabitkan enam lelaki, lima wanita dan 16 kanak-kanak.
Tambahnya, dua lelaki warga asing turut ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Ujarnya, operasi itu turut dipantau Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu bersama Pengarah Jabatan Imigresen Terengganu.
“PDRM dan JIM akan terus memperketat pemantauan serta mengambil tindakan undang-undang dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di Terengganu terpelihara,” katanya.
Dalam pada itu, PDRM menasihatkan masyarakat supaya tidak mengambil tindakan sendiri atau melakukan tindakan melampau terhadap warga asing, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya urusan siasatan kepada pihak berkuasa.
Orang ramai turut diingatkan supaya tidak menyebarkan spekulasi, maklumat tidak sahih atau kenyataan berunsur provokasi di media sosial yang boleh menimbulkan keresahan serta keraguan dalam kalangan masyarakat. – MalaysiaGazette
















