Yuken didenda di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas kesalahan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian.

JOHOR BAHRU – Seorang pekerja pembersihan di Singapura mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal, minggu lalu.

Tertuduh, T Yuken yang berusia 25 tahun dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun dan denda sebanyak RM20,000.

Majistret Nur Fatin Mohamad Farid menjatuhkan hukuman itu berkuat kuasa hari ini, selepas lelaki itu membuat pengakuan sebaik pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil kepadanya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara setahun jika gagal membayar denda berkenaan, selain tertuduh diperintahkan membayar pampasan kepada isteri mangsa, Noor Adlin Roslan, sebanyak RM4,000.

Selain itu, tertuduh turut dijatuhi hukuman lesen memandu diendorse oleh mahkamah, hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun dan jika memiliki lesen percubaan, lesen dibatalkan oleh mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu sebagai pemandu kereta didakwa memandu kenderaan itu di atas jalan raya dengan cara berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian Muhamad Isa Damiri, 41, di Jalan Leong Bee, Gelang Patah di sini, pukul 4.20 pagi, pada 6 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM50,000 serta lesen memandu diendorse oleh mahkamah, hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu bagi tempoh sehingga lima tahun dan jika memiliki lesen percubaan, lesen akan dibatalkan oleh mahkamah, jika sabit kesalahan.

Sebelum dijatuhkan hukuman, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman yang ringan kerana benar-benar kesal dan mengakui kesilapan dilakukannya.

“Saya mohon maaf dan saya tak sengaja. Itu saya punya salah, saya mengaku. Minta kurangkan hukuman dan denda saya. Saya baharu masuk kerja seminggu dengan pendapatan SGD600.

“Saya juga jaga keluarga saya termasuk ibu yang tidak bekerja, ayah tukang kebun dan dua adik masih belajar,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Muhaizam Rostam Affendi bagaimanapun memohon mahkamah mengambil kira beberapa faktor pemberatan sebelum menjatuhkan hukuman.

Beliau berkata, mahkamah perlu mengambil kira kepentingan awam kerana kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius kerana membabitkan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Jelasnya, akibat pemanduan tertuduh, mangsa meninggal dunia di usia 41 tahun, malah meninggalkan seorang isteri dan empat anak.

“Mereka kehilangan suami dan bapa yang mempunyai tanggungjawab dan peranan penting menyebabkan kejadian ini sangat memberi kesan kepada keluarga mangsa.

“Mohon juga hukuman mengambil kira elemen pencegahan dan pengajaran supaya memberi mesej jelas berhubung keseriusan kesalahan pemanduan tertuduh yang tidak boleh dipandang ringan, malah ketika kejadian, tertuduh memandu tanpa lesen dan perlindungan insurans.

“Mahkamah boleh mengambil kira kerugian atau kerosakan yang berlaku pada motosikal mangsa selain mohon pertimbangan mahkamah untuk bayaran pampasan kepada isteri mangsa,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 10 Disember ini untuk sebutan semula bagi status pembayaran pampasan dan jika gagal dibayar, mahkamah akan menentukan perintah sewajarnya.

Mengikut fakta kes, tertuduh memandu Perodua Myvi masuk ke laluan bertentangan dan melanggar motosikal Honda C100B yang ditunggang mangsa yang sedang bergerak lurus.

Akibat pelanggaran itu, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan Pegawai Perubatan Hospital Sultanah Aminah (HSA) mengesahkan punca kematian adalah pelbagai kecederaan yang konsisten dengan kemalangan jalan raya.

Video kemalangan itu turut tular dalam media sosial memaparkan bagaimana kereta tertuduh yang dilihat bergerak laju merempuh motosikal mangsa. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast