KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mencadangkan agar Sidang Khas Parlimen yang dijadualkan esok bagi membentangkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji ditangguhkan ke suatu tarikh yang lebih sesuai susulan perkembangan terkini membabitkan kesihatan perdana menteri.
Ketua Whip Ahli Parlimen PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, gabungan itu telah menghantar surat rasmi kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul bagi memohon penangguhan Sidang Khas Parlimen yang dijadualkan pada 11 Ogos.
Menurutnya, surat permohonan berkenaan telah diterima secara rasmi oleh Pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat hari ini.
Jelas beliau, memandangkan isu Tabung Haji merupakan perkara yang sangat penting dan melibatkan kepentingan awam, PN berpandanganadalah amat wajar sekiranya pembentangan laporan ini dibuat sendiri oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.
“Ini kerana, YAB Perdana Menteri sendiri telah membangkitkan perkara ini kepada pengetahuan umum ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sedangkan laporan RCI tersebut telah tersedia sejak beberapa tahun yang lalu.
Justeru, kehadiran Perdana Menteri sendiri di Dewan Rakyat untuk membentangkan dan memberikan penjelasan berhubung laporan RCI ini adalah amat signifikan,” katanya dalam satu kenyataan.
Takiyuddin menegaskan, tindakan itu bukan sahaja penting dari sudut ketelusan dan akauntabiliti, malah wajar bagi memastikan rakyat mendapat penjelasan yang menyeluruh dan komprehensif mengenai perkara yang pernah dibangkitkan oleh perdana menteri sendiri sebelum ini.
Menerusi kenyataan tersebut, Takiyuddin berkata, PN mendoakan agar perdana menteri dan timbalan perdana menteri II diberikan kesembuhan segera serta dapat kembali menjalankan tugas seperti biasa. – MalaysiaGazette
















