Ab Rahaman menunjukkan sebahagian daripada dadah 96.76 kilogram bernilai RM8.49 juta yang dirampas, dalam sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini

JOHOR BAHRU – Dua ahli sindiket pengedaran dadah ditahan dan dadah seberat 96.76 kilogram bernilai RM8.49 juta dirampas dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Masai dan Taman Ehsan Jaya di sini pada 5 Ogos lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, serbuan pertama berjaya menahan seorang lelaki berusia 30 tahun di pangsapuri yang disewakan dan merampas dadah seberat 96.76 kilogram bernilai RM8.49 juta.

“Polis merampas pil erimin 5 dengan anggaran berat 41.74 kilogram (kg) bernilai RM4.174 juta, 53,000 biji pil ekstasi seberat 23.11 kg bernilai RM3.47 juta, 290 paket plastik disyaki serbuk ekstasi bernilai RM87,000, 13 paket plastik disyaki ketamin bernilai RM590,000 dan dua paket berisi serbuk MDMA bernilai RM178,500.

Antara dadah yang dirampas di sebuah pangsapuri di Masai dan Taman Ehsan Jaya, Johor Bahru pada 5 Ogos lalu.

“Polis turut menyita empat buah kereta, sebuah motosikal dan wang tunai berjumlah RM100,000 yang menyaksikan nilan rampasan dan sitaan keseluruhan berjumlah RM9.44 juta,” katanyapada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Ab Rahaman berkata, serbuan kedua pula iaitu lelaki berusia 34 tahun dilakukan di Taman Ehsan Jaya namun tidak menemui sebarang dadah dan hanya manahan seorang lagi suspek.

Jelasnya, siasatan mendapati, suspek pertama berperanan sebagai penjaga stor manakala suspek kedua dipercayai pembantu kepada dalang yang membayar gaji suspek utama.

Sebahagian dadah seberat 96.76 kilogram bernilai RM8.49 juta yang dirampas dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Masai dan Taman Ehsan Jaya.

“Modus operandi sindiket ini menjadikan pangsapuri berpagar dan berpengawal sebagai stor penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya.

Menurutnya, jumlah dadah yang dirampas mampu merosakkan sekitar 392,098 penagih.

Dua suspek berusia 30 dan 34 tahun ditahan dalam Dua serbuan berasingan tersebut pada 5 Ogos lalu

Kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast