Dr Naqib Ghazali

JOHOR BAHRU – Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) melalui pihak sekolah akan memberi perhatian dan bantuan psikologi kepada dua keluarga kanak-kanak lemas dalam empangan di Taman Scientex, Pasir Gudang, kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, langkah ini memastikan kebajikan serta keadaan emosi rakan-rakan sekolah yang terkesan berada dalam keadaan baik dan stabil.

“Intervensi psikososial melalui unit bimbingan dan kaunseling juga akan dilaksanakan mengikut keperluan bagi membantu murid-murid dan warga sekolah yang terkesan menghadapi situasi ini dengan baik.

“Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang akan terus memantau perkembangan kes dari semasa ke semasa serta mendapatkan maklumat dan pengesahan berkaitan hasil siasatan daripada pihak berkuasa melalui pihak sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian petang kelmarin, Mohamad Haikal Ramzi Mohamad Khairudi, 12, dan Muhammad Faris Adam Arman, 11, dilaporkan lemas selepas dipercayai mandi di empangan tersebut.

Dua kanak-kanak ditemui lemas dalam kawasan empangan di Jalan Murai 2, Taman Scientex, Pasir Gudang

Muhammad Naqib berkata, pihaknya menyeru semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi, menyebar maklumat yang belum disahkan atau berkongsi berita palsu berkaitan kejadian itu.

Dalam situasi seperti ini katanya, semua pihak perlu menghormati keluarga mangsa dan memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan sewajarnya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan ibu bapa dan penjaga agar sentiasa mengambil perhatian terhadap aktiviti anak-anak, khususnya ketika berada di kawasan berisiko keselamatan seperti tasik, lombong, empangan atau kawasan air yang bukan untuk kegiatan rekreasi.

“Semoga roh Allahyarham Muhammad Adam Farish dan Allahyarham Mohammad Haikal Ramzi dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

“Semoga keluarga kedua-dua Allahyarham diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian yang amat berat ini,” ujar beliau.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal kedua-dua mangsa dipercayai keluar bermain futsal bersama-sama beberapa rakan sebelum singgah di kawasan berkenaan dalam perjalanan pulang.

Mangsa katanya, dipercayai masuk ke kawasan air tersebut sebelum kejadian berlaku, namun punca sebenar insiden masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan pihak berkaitan untuk menjalankan siasatan serta mendapatkan pengesahan rasmi berhubung punca kematian.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast