KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Subang, Wong Chen melepaskan keahliannya sebagai Ahli Dewan Rakyat berkuat kuasa semalam sekali gus menyebabkan kerusi Parlimen berkenaan kini kosong.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul telah menerima surat daripada Wong Chen berhubung peletakan keahlian tersebut sebelum memaklumkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Katanya, tindakan berkenaan dibuat selaras dengan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan berhubung kekosongan kerusi di Dewan Rakyat.
“Yang Berhormat bagi kawasan Subang telah menghantar surat untuk melepaskan keahlian beliau berkuat kuasa semalam sebagai Ahli Dewan Rakyat kepada saya.
“Saya telah memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai kekosongan kerusi Ahli Parlimen Subang tersebut selaras dengan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat khas berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) di Dewan Rakyat hari ini.
Semalam, Wong Cchen mengesahkan sudah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen Subang kepada Johari pada Rabu lalu.
Menerusi hantaran di Facebook semalam, wakil rakyat PKR itu memaklumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa pukul 5 petang semalam.
Beliau berkata, tempoh selama tiga hari itu bertujuan memberi laluan kepada kakitangan Dewan Rakyat membuat persediaan bagi kekosongan luar jangka untuk Parlimen Subang.
Dalam pada itu Johari berkata, mesyuarat khas berkenaan diadakan selepas Perdana Menteri memaklumkan kepadanya pada 30 Julai lalu supaya satu mesyuarat khas diadakan selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(3).
Menurutnya, berdasarkan peraturan itu, urusan mesyuarat khas hendaklah ditetapkan oleh Perdana Menteri.
Beliau berkata, urusan mesyuarat khas hari ini adalah penerangan Perdana Menteri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hassan berhubung Kertas Perintah 20 Tahun 2026, iaitu laporan RCI mengenai Tabung Haji dan usaha serta tindakan yang diambil bagi memulihkan kedudukan kewangan agensi berkenaan.
Johari turut membenarkan Zulkifli untuk memberikan penjelasan dan penerangan berhubung perkara tersebut.
Mesyuarat khas itu turut dihadiri Yang Dipertua Dewan Negara, Ahli Dewan Negara serta Speaker-Speaker Dewan Undangan Negeri. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Wong Chen letak jawatan Ahli Parlimen Subang berkuat kuasa hari ini
















