KOTA TINGGI – Seorang lelaki maut dalam kemalangan selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan di Jalan Felda Bukit Besar-Bukit Ranum di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut daripada orang awam pada pukul 9.15 malam.
“Semasa kejadian mangsa datang dari Felda Bukit Ramun ke Felda Bukit Besar. Kemalangan melibatkan motosikal jenis Yamaha Y125 ditunggang Mohd Haris Hasan Basri yang berusia 35 tahun dan bekerja sebagai pemandu lori.
“Motosikal ditunggang mangsa telah terbabas sendiri dan dia cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, mayat dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan.
Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jia sabit kesalahan boleh dipenjara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000.
Jelasnya, ini termasuk hilang kelayakan memegang lesen memandu selama lima tahun.- MalaysiaGazette
















