Mohd Jafni melawat premis kitar semula barang lusuh di Kampung Maju Jaya, Kempas, Johor Bahru hari ini

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri mengarahkan sebuah premis kitar semula barang lusuh di Kampung Maju Jaya, Kempas di sini yang beroperasi secara haram serta didakwa mengakibatkan pencemaran dan berbahaya ditutup terus.

Ia susulan siasatan dilakukan dan mendapati premis yang beroperasi lebih lima tahun itu melakukan pembakaran terbuka dan mengakibatkan pencemaran.

Apatah lagi premis itu terletak berhampiran laluan paip gas milik Petronas Nasional Berhad (Petronas), sekali gus mencetuskan kebimbangan keselamatan kira-kira 10,000 penduduk di empat kampung berhampiran.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, arahan penutupan itu dibuat selepas pemeriksaan mendapati tapak seluas kira-kira 3.4 hektar tersebut digunakan untuk aktiviti yang tidak selari dengan status tanah.

Mohd Jafni diberikan penerangan berkenaan operasi dan keluasan tapak premis kitar semula barang lusuh yang didapati beroperasi secara haram

Menurutnya, tanah berkenaan berstatus pertanian, namun dipercayai digunakan sebagai lokasi pengumpulan pelbagai jenis sisa termasuk sisa basah dan bahan binaan yang dikumpulkan secara bercampur sebelum dibakar.

“Tanah ini asalnya berstatus pertanian dan kita anggap ia digunakan untuk aktiviti pertanian, tetapi apa yang berlaku sekarang ialah pengumpulan sampah dan sisa pekerjaan.

“Sisa itu pula bercampur-campur, termasuk sisa basah dan bahan binaan. Kalau dia ada lesen sekali pun, dia mungkin sudah melanggar syarat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melakukan tinjauan di premis berkenaan di Jalan Kempas Lama-Seelong di sini hari ini.

Keadaan sampah dan barang lusuh yang masih belum dibersihkan di premis kitar semula barang lusuh di Kampung Maju Jaya, Kempas, Johor Bahru, hari ini

Mohd Jafni berkata, semakan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) mendapati tiada lesen dikeluarkan bagi membolehkan aktiviti pengumpulan atau pengurusan sisa dijalankan di tapak terbabit.

Katanya, siasatan awal mendapati kegiatan tersebut dipercayai dijalankan oleh seorang pengusaha yang menyewa tanah berkenaan daripada pemilik sebenar sejak lebih lima tahun lalu.

“Pihak berkuasa perlu jumpa pemilik sebenar kerana dia menyewakan tapak ini kepada pengusaha.

“Kita mahu tahu sama ada dia bersubahat, bekerjasama atau aktiviti ini sebahagian daripada perniagaannya. Kalau memang terlibat, kita akan ambil tindakan,” katanya.


Aktiviti pembakaran barangan lusuh dari sebuah premis yang didakwa beroperasi secara haram di Jalan Kempas Lama-Seelong, Johor Bahru didakwa mengakibatkan pencemaran

Dalam pada itu, kira-kira 300 ekor ayam turut ditemui di kawasan berkenaan yang dipercayai dijadikan lokasi pengumpulan sisa selain aktiviti pembakaran terbuka yang didakwa berlaku terutama pada waktu malam.

Aktiviti tersebut dikatakan menyebabkan asap merebak ke kawasan penempatan berhampiran sehingga menimbulkan keresahan penduduk.

Lebih mengejutkan, lokasi berkenaan berada kira-kira 150 meter dari laluan gas milik Petronas yang pada awalnya menimbulkan kebimbangan mengenai risiko keselamatan sekiranya berlaku kebakaran atau letupan.

Bagaimanapun, pemeriksaan teknikal yang dijalankan pihak Petronas mengesahkan saluran paip gas berkenaan berada dalam keadaan selamat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast