Tangkap layar menunjukkan seorang OKT melarikan diri dengan memanjat pagar Mahkamah Kulim, Kedah ketika proses tangkapan semula dilakukan polis Pulau Pinang.

KULIM – Dua orang kena tuduh (OKT) melarikan diri ketika proses tangkapan semula oleh anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan (SPS) di Mahkamah Majistret Kulim di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Syamsul Sinring berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi selepas kedua-dua OKT selesai menghadiri sebutan kes berkaitan pertuduhan di bawah Seksyen 324 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

“Kedua-dua lelaki itu hadir ke mahkamah untuk sebutan kes dan keluar melalui pintu belakang selepas selesai urusan pengurusan kes serta serahan dokumen.

“Ketika berada di luar mahkamah, kedua-duanya menyedari kehadiran anggota polis dari IPD SPS di pintu hadapan sebelum seorang daripada mereka terus melarikan diri dengan turun melalui tiang dari aras satu, manakala seorang lagi masuk semula ke dalam bangunan dan melarikan diri melalui laluan belakang.

“Kedua-duanya kemudian berjaya melarikan diri dari kawasan mahkamah dengan memanjat pagar,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, kedua-dua OKT dikenal pasti sebagai Muhammad Amirullah Abu Hassan Shaari, 26, dan Muhammad Ashraf Abu Hassan Shaari, 30.

Terdahulu, tular satu rakaman video di media sosial memaparkan dua lelaki dipercayai OKT melarikan diri sebelum memanjat dan keluar melalui pagar di belakang kawasan Mahkamah Majistret Kulim. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast