KUALA LUMPUR – Kanak-kanak lelaki yang ditemukan lemas sungai berhampiran Persiaran Subang Indah, USJ 1, Subang Jaya, kelmarin bermain dengan rakannya sebelum dia jatuh dan tergelincir.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Wan Azlan Wan Mamat yang mengesahkan perkara itu berkata, rakan mangsa berusia enam tahun.
“Rakan mangsa cuba membantu menyelamat namun tidak berjaya dan telah memaklumkan kepada keluarga mengenai kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian yang berlaku di sungai berhampiran Persiaran Subang Indah, USJ 1, Subang Jaya, sekitar jam 8 malam.
Susulan itu katanya, polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah dikejarkan di lokasi dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
“Pada jam 10.59 pagi semalam, mangsa berjaya ditemukan berhampiran Jambatan Jeram, Puchong, kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Serdang untuk siasatan lanjut,” ujarnya.
Wan Azlan menasihati ibu bapa agar mengambil langkah berhati-hati di kawasan yang berisiko tinggi dan mengawasi pergerakan anak-anak bagi mengelakkan tragedi seumpama ini daripada berulang. – MalaysiaGazette
















