KUALA LUMPUR – Pas Kedah melahirkan rasa dukacita dengan keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung kes lesen premis judi di negeri itu meskipun akur dengan ketetapan yang dibuat.
Malah, Pesuruhjayanya, Datuk Ahmad Yahaya juga menyifatkan keputusan itu turut mendukacitakan seluruh rakyat Negeri Kedah.
Ujarnya yang juga Ketua Dewan Ulama Pas, adalah sangat ironi apabila langkah Kerajaan Negeri Kedah mengamalkan prinsip mencegah kerosakan dalam masyarakat dibantah oleh pihak tertentu sehingga mereka sanggup membawa kes itu ke mahkamah sejak dari awal.
“Inilah yang amat dikesali. Bagaimana ada pihak yang masih tegar mempertahankan jenayah perjudian dalam negeri meskipun usaha kerajaan menutup keseluruhan premis telah dilaksanakan mengikut garis perundangan yang ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, Pas Kedah menegaskan bahawa prinsip amar makruf nahi munkar akan terus dipertahankan dalam aspek berkerajaan.
Selain itu, ujarnya, Pas Kedah juga ingin menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan negeri atas apa jua tindakan susulan yang wajar diambil pasca pendirian daripada Mahkamah Persekutuan tersebut.
“Insya-Allah, perjuangan ini tidak akan bertemu titik noktah di sini,” katanya.
Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan kerajaan negeri untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan, tahun lalu yang memutuskan tindakan tidak memperbaharui dan mengeluarkan lesen premis perjudian melanggar Perlembagaan.
Pada prosiding itu, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Rhodzariah Bujang sebulat suara menolak permohonan tersebut dan memerintahkan kerajaan negeri membayar kos RM50,000.
Pada 12 Disember 2025, Mahkamah Rayuan melalui keputusan majoriti 2-1, mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati arahan Kerajaan Negeri Kedah untuk tidak mengeluarkan dan memperbaharui lesen perniagaan bagi perjudian adalah tidak berperlembagaan.
Kerajaan Negeri Kedah mengumumkan untuk tidak meneruskan pemberian lesen premis operasi perjudian berkuat kuasa 1 Januari 2023 berdasarkan keputusan anggota Majlis Mesyuarat Negeri pada 8 Disember 2021. – MalaysiaGazette















