Foto IG Cristiano Ronaldo.

LONDON – Selepas 10 tahun hidup bersama, bintang bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo, 41, akhirnya berkahwin dengan tunangnya, Georgina Rodriguez dalam satu majlis perkahwinan sivil di Portugal semalam.

Penyerang Al-Nassr di Arab Saudi itu berkongsi berita gembira tersebut menerusi Instagram dengan memuat naik sekeping foto yang memaparkan cincin perkahwinan mereka sekali gus menamatkan spekulasi mengenai status hubungan pasangan tersebut.

Ronaldo dan Rodriguez sebelum ini mengumumkan pertunangan mereka pada 11 Ogos 2025 kira-kira setahun sebelum mereka akhirnya bergelar suami isteri.

Difahamkan, majlis perkahwinan pasangan berkenaan berlangsung di Cascais, sebuah bandar peranginan di pesisir pantai yang terletak kira-kira 32 kilometer di barat Lisbon yang turut disaksikan oleh lima anak mereka.

Ronaldo dan Rodriguez mempunyai dua anak perempuan bersama selain tiga lagi anak Ronaldo yang dilahirkan menerusi kaedah ibu tumpang.

Foto IG Cristiano Ronaldo.

 

Perkahwinan itu berlangsung hanya empat hari sebelum kelab Ronaldo, Al Nassr, memulakan kempen Liga Pro Saudi musim 2026-27.

Dalam perkembangan berkaitan, Ronaldo kini menghampiri angka 1,000 gol sepanjang kariernya yang merangkumi beberapa kelab gergasi seperti Sporting, Manchester United, Real Madrid, Juventus dan Al Nassr, selain mewakili Portugal.

Ronaldo juga baru-baru ini beraksi dalam Piala Dunia buat kali keenam, sekali gus menyamai rekod Lionel Messi sebagai pemain dengan penampilan terbanyak dalam sejarah pusingan akhir Piala Dunia. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast