PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang memburu dua individu, Poh Po Lian dan Jennifer Kok Sau Keng selepas Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan waran tangkap terhadap mereka.
Waran tangkap terhadap Po Lian, seorang lelaki warga Singapura dan Jennifer yang merupakan wanita tempatan dikeluarkan pada 4 Ogos lalu selepas kedua-duanya masih gagal dikesan bagi membantu siasatan satu kes.
Menurut SPRM, usaha mengesan kedua-dua individu berkenaan telah dilakukan sejak tahun lalu termasuk menerusi kenyataan media yang dikeluarkan pada Oktober 2025 dan Mac lalu.
“Namun, kedua-dua saksi ini masih gagal dikesan termasuk di alamat terakhir mereka di 15 White House Park, Singapore 257832,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Po Lian mempunyai alamat terakhir di B-47-3, Pavilion Residence 2, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur.
Jennifer pula mempunyai alamat terakhir di B-24-03, Abadi Villa, Jalan 3/109C, Off Jalan Klang Lama, Taman Abadi Indah, Kuala Lumpur.
Susulan kegagalan mengesan mereka, SPRM memaklumkan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur telah mengeluarkan waran tangkap terhadap kedua-duanya pada 4 Ogos lalu.
Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai Po Lian dan Jennifer diminta menghubungi pegawai penyiasat SPRM, PPs Stefan Lue Hsien di talian 017-902 8199.
Maklumat juga boleh disalurkan menerusi e-mel [email protected]. – MalaysiaGazette
















