Oleh: Dr. Adnin Afifi Nawi
JIKA suatu ketika dahulu matcha atau serbuk teh hijau Jepun ini hanya ditemui di kafe-kafe hipster, hari ini warnanya yang hijau pekat seolah-olah sudah ‘menjajah’ dunia makanan kita. Bermula sekadar minuman latte dan pemanis mulut, kini muncul pula menu luar biasa seperti nasi lemak matcha, burger matcha, ayam goreng matcha, malah ikan keli goreng matcha!
Persoalannya, adakah lambakan menu hijau ini satu kreativiti kulinari yang sihat, atau sekadar strategi peniaga untuk mengejar populariti murahan di media sosial?
Tidak dapat dinafikan, matcha sedang melalui zaman kegemilangannya. Menurut laporan pasaran global daripada Grand View Research, nilai pasaran matcha dianggarkan mencecah AS$5.07 bilion (sekitar RM22 bilion) pada tahun 2025 dan dijangka terus melonjak. Pertumbuhan mendadak ini didorong persepsi kita sebagai pengguna yang menganggap matcha sebagai pilihan yang lebih sihat kerana ia kaya dengan antioksidan.
Di seluruh dunia, permintaan terhadap matcha meningkat dengan begitu pantas. Laporan daripada South China Morning Post mendedahkan bahawa beberapa pengeluar tradisional di Jepun kini bergelut untuk memenuhi permintaan pasaran global yang mencanak naik gara-gara penangan media sosial.
Fenomena ini turut melanda Malaysia dengan hebat. Kalau dahulu kita memilih makanan berdasarkan rasa dan kualiti, corak pembelian hari ini sudah berubah. Elemen “unik” dan “cantik untuk dimuat naik ke TikTok atau Instagram kini menjadi keutamaan, terutamanya bagi golongan muda.
Dalam ekonomi digital, perhatian (attention) pengguna adalah lubuk duit. Semakin pelik atau luar biasa sesuatu menu itu, semakin tinggi potensi untuk ia dikongsi dan menjadi tular. Warna hijau terang matcha menjadikannya bahan yang sangat visual-friendly. Apabila gambar atau video makanan itu berjaya memukau mata netizen dalam tempoh tiga saat pertama, maka sahlah menu itu akan menjadi buruan.
Namun, persoalan besarnya: Adakah yang viral itu semestinya berkualiti?
Dalam dunia masakan, inovasi sepatutnya bertujuan untuk menyedapkan lagi makanan. Sebagai contoh, penggunaan matcha dalam kek, ais krim atau minuman sememangnya masuk akal. Profil rasa matcha yang sedikit pahit dan beraroma mampu mengimbangi rasa manis bahan-bahan lain.
Sebaliknya, apabila matcha dicampurkan ke dalam makanan berlauk atau digoreng tanpa memikirkan keserasian rasa, ia kelihatan lebih kepada gimik pemasaran. Adakah tekak kita benar-benar boleh menerima gabungan sambal tumis pedas bersama rasa pahit teh hijau? Peniaga mungkin mendapat ‘likes’ yang banyak, tetapi adakah pelanggan akan datang membeli buat kali kedua?
Jangan tertipu dengan label ‘sihat’
Satu lagi isu yang membimbangkan adalah taktik psikologi makanan. Ramai pengguna mudah terpedaya dan menganggap sesuatu makanan itu sihat semata-mata kerana ia berwarna hijau atau mengandungi matcha.
Hakikatnya, kandungan gula, garam, dan lemak dalam sesuatu hidangan tidak berubah. Menambah satu sudu serbuk matcha ke dalam minuman pencuci mulut yang sarat dengan susu pekat manis tidak akan menukarkan hidangan tersebut menjadi ‘makanan diet’. Pakar pemakanan sering mengingatkan bahawa khasiat sesuatu makanan perlulah dilihat secara keseluruhan, bukannya bersandarkan satu bahan trend semata-mata.
Gejala ‘keletihan matcha’
Jika kita imbau kembali, fenomena ini bukanlah perkara baharu. Kita pernah menyaksikan gelombang kegilaan teh boba, arang aktif (activated charcoal), mangga susu, dan cheese leleh. Kebanyakan makanan viral ini akhirnya ‘suam-suam kuku’ dan lenyap apabila pengguna mula bosan dan mencari trend baharu.
Malah, portal industri makanan antarabangsa FoodNavigator.com kini mula membincangkan tentang kemungkinan berlakunya ‘matcha fatigue’ atau keletihan matcha. Ini adalah satu fasa yang mana pengguna sudah mula muak dengan lambakan produk matcha yang tidak berkualiti di pasaran, yang dihasilkan semata-mata untuk menangguk di air keruh.
Bagaimanapun, kita tidak boleh melihat semua inovasi ini dari sudut negatif sahaja. Industri makanan tempatan memerlukan kreativiti untuk terus hidup dan berkembang. Pengusaha yang berani mencuba gabungan rasa baharu (fusion) berpotensi mencipta produk unik yang ikonik. Malah, banyak makanan kegemaran kita hari ini juga pernah dianggap pelik pada awal kemunculannya.
Kuncinya adalah keseimbangan antara kreativiti dan kualiti. Inovasi yang baik sepatutnya meningkatkan rasa dan tekstur makanan, bukannya sekadar menghasilkan kejutan visual untuk meraih tontonan di media sosial.
Sebagai pengguna, kita perlu menjadi lebih bijak. Janganlah membeli sesuatu hanya kerana takut ketinggalan trend FOMO – Fear of Missing Out. Selidikilah aspek rasa, nilai nutrisi dan berbaloikah harga yang dibayar dengan kualiti yang ditawarkan. Populariti di media sosial mungkin bertahan beberapa minggu, tetapi rasa yang sedap dan kualiti yang konsisten itulah yang akan membuatkan sesebuah kedai makan bertahan bertahun-tahun.
Sebelum kita beratur panjang demi seketul burger berwarna hijau malam ini, tanyalah diri sendiri: Adakah kita sedang mengejar cita rasa yang asli, atau sekadar mengejar ‘content’ untuk viral?
Penulis adalah Pensyarah Pusat Pengajian Diploma
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
















