KUALA LUMPUR – Usaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperkasa golongan asnaf supaya mampu menjana pendapatan sendiri mula membuahkan hasil apabila projek tanaman fertigasi cili kendaliannya mencatat pulangan lebih RM207,000 pada musim pertama.
Projek menerusi Program Hijrah Asnaf Tanaman Fertigasi Cili MAIWP itu turut memberi peluang kepada 10 peserta asnaf memperoleh kemahiran dalam pengurusan tanaman, pemasaran, kewangan dan keusahawanan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, hasil tuaian pertama projek berkenaan mencapai lebih 16 tan cili, sekali gus membuktikan potensi program itu untuk dikembangkan.
“Alhamdulillah, kita melihat projek ini sangat cemerlang. Tuaian pertama sahaja menyaksikan lebih 16 tan cili berjaya dihasilkan dan membawa pulangan lebih RM207,000 kepada asnaf kita.
“Seramai 10 asnaf terlibat dalam projek ini dan mereka bukan sahaja dibekalkan pengetahuan mengenai fertigasi cili, tetapi juga pemasaran, kewangan dan aspek lain,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat dan menuai hasil projek fertigasi cili berkenaan di Kompleks Anak Yatim Darul Kifayah, di sini hari ini.
Program yang bermula di kawasan seluas tiga ekar itu kini diperluaskan kepada lima ekar bagi musim kedua susulan pencapaian memberangsangkan pada musim pertama.

Menurut Zulkifli, MAIWP turut merancang mengembangkan program berkenaan kepada penghasilan produk hiliran berasaskan cili bagi memberikan nilai tambah kepada hasil pertanian.
Katanya, antara produk yang telah mula dihasilkan ialah jeruk cili, sambal hijau dan sambal merah yang berpotensi dipasarkan secara lebih meluas.
“Sekarang ini kita mahu kembangkan lagi bukan hanya menanam cili tetapi menghasilkan produk-produk cili yang boleh dipasarkan.
“Mereka sudah ada jeruk cili, sambal hijau dan sambal merah. Ini yang kita mahu lihat, asnaf kita mempunyai kemahiran dan mendapat bimbingan daripada industri serta MAIWP,” katanya.


















