KUANTAN – Apa sahaja keputusan dicapai DAP menerusi Kongres Kebangsaan Khas Ahad ini diharap dapat terus memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat di negara ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau berharap kerajaan sedia ada dapat dikekalkan sehingga tamat penggal Parlimen semasa.
“Kita berharap mereka (perwakilan DAP) buat keputusan yang terbaik untuk negara. Saya tak boleh nak komen kesan kepada kerajaan sedia ada di Pahang, kena tunggu keputusan kongres nanti.
“Tapi, saya harap kita dapat kekalkan (Kerajaan Perpaduan) sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16),” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
DAP dijadual mengadakan kongres kebangsaan khas Ahad ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dengan lebih 4,200 perwakilannya dijangka memutuskan sama ada parti itu patut kekal sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan sehingga tempoh Parlimen semasa berakhir pada Disember tahun depan.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dilaporkan akan membawa usul bagi pihak Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP pada kongres khas itu bagi membolehkan perkara terbabit diundi oleh para perwakilan.
Daripada keseluruhan 42 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), DAP mempunyai 6 orang ADUN di dalam komponen pentadbiran kerajaan negeri Pahang ketika ini.
Mereka ialah ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Leong Yu Man (Triang) dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Lee Chin Chen (Bilut) yang juga Pengerusi DAP Pahang; Ho Chi Yang (Tanah Rata), Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (Tras), Su Keong Siong (Ketari) dan Woo Chee Wan (Mentakab). – MalaysiaGazette
















