Pembahas Selangor, Ahmad Danish Hairudin menyampaikan pembentangan usul pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Melaka International Trade Center (MITC), Ayer Keroh. Foto MOHD ADZLAN, 15 OGOS 2026.

AYER KEROH – Akar umbi Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak lagi mahu hubungan politik dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus dikaji, sebaliknya memohon Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat satu keputusan politik membolehkan parti bergerak dengan lebih jelas dan yakin.

Wakil Selangor, Danish Hairudin berkata, akar umbi mahu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan parti membuat satu keputusan politik penting demi kepentingan parti serta anggota di peringkat akar umbi.

Menurutnya, PKR tidak seharusnya terlalu sibuk menjaga hati pihak lain sehingga terlupa untuk menjaga hati keluarga sendiri.

“Maka biarlah Kongres Nasional Keadilan 2026 menghantar satu mesej yang jelas kepada yang setia kita hargai, kepada yang berkawan kita hormati, kepada yang menyerang, kita lawan.

“Kita akan lawan seperti mana kita lawan dalam tempoh 20 tahun lalu,” katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di MITC di sini, hari ini.

Danish berkata, atas semangat dan roh Keadilan, sudah tiba masanya parti menggunakan panji sendiri dalam pilihan raya akan datang.

Katanya, langkah itu boleh dimulakan di Melaka yang dijangka menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

“Panji Keadilan inilah yang pernah membawa suara majoriti rakyat Malaysia sehingga menumbangkan keangkuhan dan kesombongan UMNO-BN buat kali pertama pada 2018 di peringkat Persekutuan.

“Sudah tiba masanya kita kembali menggunakan kekuatan dan identiti Keadilan untuk bergerak ke hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast