Adam Adli

MELAKA – Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 sebagai tanda besar komitmen kerajaan terhadap agenda reformasi.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim berkata, pemansuhan Akta 380 itu tidak seharusnya dilihat dari sudut siapa yang mendapat kredit, sebaliknya sebagai hasil perjuangan mahasiswa yang berani bersuara sejak sekian lama.

“Saya tanggap pengumuman PM berkait pemansuhan AUKU ini sebagai satu tanda besar terhadap komitmen terhadap reformasi dan pada saat ini, saya tidak fikir siapa yang menang atau siapa yang mendapat kredit.

“Saya cuma terkenang wajah-wajah yang pernah berdiri bersama. Mereka yang pernah takut, tetapi tetap datang. Mereka yang pernah dihukum, tetapi tetap bersuara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pengumuman berkenaan juga adalah hadiah buat perjuangan anak mahasiswa sepanjang zaman.

“Terima kasih perdana menteri,” katanya yang juga Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Melaka.

Anwar ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka, hari ini mengumumkan kerajaan akan memansuhkan AUKU 1971 bagi memberi lebih kebebasan kepada mahasiswa.

Presiden PKR itu berkata, keputusan dibuat selepas mengambil kira pandangan mahasiswa yang mahukan ruang kebebasan lebih luas, termasuk melalui memorandum yang dikemukakan kepada kerajaan.

“Anak-anak mahasiswa merasakan mereka harus lebih bebas. Kita dah bebaskan dengan beberapa pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti.

“Ada yang tidak puas hati, mereka mengemukakan memo, maka pada hari ini saya nak umumkan, kita akan mansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti!” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast