KUALA LUMPUR – Golongan muda disaran supaya tidak menerima bulat-bulat setiap maklumat yang disampaikan, sebaliknya melakukan semakan dan penyelidikan sebelum mempercayai sesuatu dakwaan.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, golongan muda perlu berani untuk tidak menjadi ‘pak turut’ kepada mana-mana pihak.
“Anak-anak muda jangan percaya kepada tulisan saja atau apa yang dicakap. Mereka perlu buat penyelidikan dan timbulkan persoalan.
“Jangan kita menjadi pak turut kepada sesiapa, termasuk bukan pak turut kepada saya.
“Kita perlu semak apa yang berlaku dan lihat faktanya,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Pelancaran Buku Mustadhafin Vs Mustakbirin di sini, hari ini.
Beliau berkata, sikap menerima sesuatu maklumat tanpa membuat semakan turut membuka ruang kepada politik berasaskan kaum dan sentimen perkauman untuk terus dimainkan.
Menurutnya, dakwaan berkaitan sesuatu kaum juga perlu disokong dengan fakta dan bukti ilmiah, bukannya sekadar diterima kerana ia diulang atau disebarkan oleh pihak tertentu.
Beliau mengambil contoh dakwaan bahawa kaum tertentu menjadi punca kemusnahan Lembaga Tabung Haji, sedangkan menurutnya, hasil laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mendapati pihak yang terlibat dalam perkara tersebut terdiri daripada individu Melayu.
“Jangan terima maklumat awal yang menyebabkan kita membuat penilaian berdasarkan kaum. Isu seperti ini mudah digunakan dan akhirnya menjadi isu bercorak rasis,” tegasnya.
Katanya, pendekatan yang hanya menyalahkan kaum lain boleh mewujudkan sikap ‘asabiyah’, iaitu kecenderungan mempertahankan kelompok sendiri walaupun melakukan kesalahan, manakala kebaikan kelompok lain pula dianggap buruk.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, masyarakat juga perlu menilai dakwaan mengenai ancaman terhadap kedudukan orang Melayu dengan melihat realiti struktur negara dan bukti yang ada.
“Sebagai contoh, dakwaan DAP mengancam kedudukan orang Melayu. Kita tahu di Malaysia ini, Raja-Raja Melayu ada, Ketua Polis Melayu, Ketua Tentera Melayu, pegawai daerah (DO) Melayu, mufti dan orang Islam.
“Kalaulah Islam terancam, malulah kita. Di mana fungsi yang ada pada jawatan-jawatan ini?
“Tetapi permainan seperti ini dipercayai. Misalnya, kita kata orang Cina nak ambil alih Malaysia. Pengundi Cina pula semakin berkurangan, kira-kira dua peratus pada setiap pilihan raya kerana masyarakat Cina kebelakangan ini berkahwin lewat dan mempunyai seorang atau dua anak.
“Orang Melayu pula secara purata mempunyai empat atau lima anak. Tetapi isu itu tetap dimainkan dan orang ramai percaya kerana mereka tidak membuat semakan.
“Saya kata tadi, apabila sesuatu perkara dilontarkan, kita kena semak semula. Betul atau tidak fakta itu?” tegasnya.
Menurut beliau lagi, keadaan itu turut menjadi cabaran pihaknya dalam menyampaikan gagasan politik yang menolak perkauman. – MalaysiaGazette
















