Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook bersama Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo hadir ke Persidangan DAP 2026 di PICC, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 16 OGOS 2026.

PUTRAJAYA – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mengakui parti itu masih berdepan cabaran besar untuk mendapatkan sokongan pengundi Melayu selepas gagal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah yang ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Anthony Loke berkata, antara matlamat utama beliau bertanding di kawasan berkenaan adalah untuk membuktikan DAP mampu mendapat sokongan pengundi daripada pelbagai kaum, termasuk di kawasan majoriti Melayu.

Bagaimanapun, beliau mengakui misi berkenaan belum berjaya.

“Saya memohon maaf kepada para perwakilan di atas kekalahan ini. Harapan yang paling besar saya dalam pilihan raya itu bukannya untuk kemenangan peribadi saya.

“Saya bertanding di kawasan itu dengan satu harapan untuk membuktikan bahawa DAP boleh mendapat sokongan daripada pengundi pelbagai kaum dan kita boleh menang juga di kawasan majoriti pengundi Melayu.

“Namun begitu, saya mengakui bahawa misi ini tidak berjaya,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan DAP 2026 di Pusat Konvensyen DAP 2026 di sini, hari ini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook hadir ke Persidangan DAP 2026 di PICC, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 16 OGOS 2026.

Beliau berkata, DAP hanya memperoleh sekitar 20 hingga 25 peratus sokongan pengundi Melayu di kawasan berkenaan selain tidak mendapat sokongan tinggi dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

Anthony Loke menyifatkan keadaan itu sebagai cabaran besar yang perlu dihadapi parti dalam usaha memperluaskan penerimaan DAP di seluruh negara.

Menurutnya, kekalahan tersebut tidak sepatutnya menyebabkan anggota parti berputus asa kerana DAP sendiri mempunyai pengalaman panjang berdepan kekalahan dalam pilihan raya sepanjang tempoh 60 tahun perjuangannya.

“Pilihan raya ada menang, ada kalah. Kita sudah ada pengalaman pilihan raya selama 60 tahun. Kita menghadapi banyak kekalahan pada awal perjuangan kita.

“Tetapi kita tidak berputus asa dan kita terus bergerak ke hadapan,” katanya.

Beliau menyeru anggota dan aktivis DAP supaya menjadikan pengalaman tersebut sebagai pedoman untuk terus berusaha mendapatkan sokongan lebih luas daripada rakyat Malaysia.

“DAP perlu terus berusaha memecahkan tembok isu kaum yang selama ini menjadi antara cabaran utama parti untuk diterima oleh majoriti rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here