Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berucap pada Persidangan DAP 2026 di PICC, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 16 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR – Keputusan DAP untuk kekal dalam kerajaan tidak harus ditafsirkan sebagai pemberian `cek kosong’ kepada kepimpinan kerajaan, sebaliknya parti itu akan terus mendesak pelaksanaan reformasi dan pembaharuan yang dijanjikan kepada rakyat.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata, sokongan untuk kekal dalam kerajaan yang bakal diputuskan melalui undi sulit perwakilan pada Persidangan DAP 2026 hari ini tidak bermakna kepimpinan parti akan berdiam diri terhadap sebarang kelemahan kerajaan.

Menurut beliau, komitmen untuk membawa reformasi serta mendapatkan semula keyakinan dan sokongan rakyat menjadi prasyarat penting sekiranya DAP terus berada dalam kerajaan.

“Bukan bermakna satu cek kosong kepada CEC mahupun kepada Perdana Menteri.

“Sudah tentu komitmen untuk membawa reformasi dan pembaharuan untuk mendapat semula keyakinan dan sokongan rakyat adalah prasyarat yang paling penting,” katanya ketika ucapan penggulungan persidangan itu, di sini, hari ini.

Anthony Loke berkata, sekiranya usul untuk kekal dalam kerajaan diluluskan, DAP akan menggunakan segala ruang dan tempoh masa yang ada untuk memulakan serta melaksanakan janji dan reformasi yang telah diumumkan kepada rakyat.

Beliau menegaskan reformasi yang dimaksudkan bukanlah janji baharu, sebaliknya perkara yang telah dinyatakan secara terbuka sebelum ini.

Whatever we have stated publicly, those are the things that we should have done,” katanya.

Menurutnya, DAP juga akan terus memastikan kerajaan, khususnya Perdana Menteri melaksanakan komitmen reformasi yang telah dijanjikan.

Anthony Loke berkata, pandangan dan teguran yang dikemukakan wakil negeri sepanjang perbahasan turut menunjukkan terdapat tuntutan jelas supaya kerajaan melaksanakan perubahan dalam tempoh yang berbaki.

“Garis masa kita hanya ada satu tahun, tak lama,” katanya.

Beliau berkata, beberapa perkara yang disenaraikan wakil DAP Sarawak sebagai keutamaan bukanlah senarai muktamad kerana masih terdapat banyak lagi perkara yang perlu diberi perhatian.

“Perbincangan mengenai perkara berkenaan juga telah dimulakan dan tidak menunggu sehingga persidangan parti hari ini,” katanya.

Anthony Loke berkata, selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan baru-baru ini, Pakatan Harapan (PH) telah mengadakan perbincangan termasuk sesi bersemuka dengan Perdana Menteri bagi menyampaikan pandangan kritikal secara terus.

Beliau turut merujuk kepada beberapa pengumuman reformasi yang dijadualkan kerajaan sehingga Oktober, termasuk menjelang sambutan Hari Kebangsaan, Hari Malaysia dan pembentangan bajet.

“Sudah tentu kita akan terus memantau dan memastikan supaya harapan rakyat untuk melihat pembaharuan dan reformasi dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast