KUALA LUMPUR – Kritikan keras terhadap UMNO dalam Kongres Nasional PKR dan Persidangan Kebangsaan DAP akhirnya dilihat sebagai “politik makan diri” apabila kedua-dua parti itu tetap memilih untuk meneruskan kerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Madani.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar menyifatkan perkembangan itu sebagai sesuatu ironik apabila UMNO yang didakwa dengan pelbagai gelaran dan tuduhan oleh sebahagian perwakilan PKR, pada akhirnya masih diperlukan untuk memastikan Kerajaan Perpaduan kekal bertahan.
Beliau berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan kritikan tersebut apabila keputusan politik akhirnya menunjukkan kedua-dua parti masih mahu UMNO dan BN kekal dalam kerajaan.
“Gegak-gempita seminggu ini, Kongres Nasional PKR macam hendak runtuh siling dewan MITC dibuatnya dengan hujah-hujah dan pembahasan para perwakilan.
“Habis dikata kepada UMNO seperti ‘talam dua muka’, ‘kawan tikam belakang’, ‘puak pengkhianat’, ‘parti sakau’ dan ‘parti tidak kenang jasa’.
“Akhirnya Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih inginkan UMNO dan BN bersama dalam Kerajaan Madani,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu Anwar dalam ucapan penggulungannya pada Kongres Nasional PKR pada Ahad mahu mengekalkan kerjasama dengan UMNO dan BN di peringkat Persekutuan demi menjamin kestabilan politik serta kemakmuran rakyat.
Perdana Menteri itu berkata, sebarang keputusan berkaitan hala tuju kerjasama politik tidak seharusnya dibuat berasaskan kemarahan atau kepentingan tertentu, sebaliknya perlu didorong oleh kepentingan rakyat dan negara.
Dalam pada itu, Gulam menjangkakan nada keras perwakilan PKR akan diterjemahkan kepada tindakan politik yang lebih drastik, bagaimanapun perkara tersebut tidak berlaku.
“Jika dari suhu pembahasan, saya ingatkan Presiden PKR akan membuat keputusan untuk memecatkan semua menteri dan timbalan menteri dan seterusnya memutuskan hubungan kerjasama dengan BN.
“Meleset andaian saya. Mana nak letak muka pembahas-pembahas yang inginkan PKR putuskan hubungan dengan UMNO,” katanya.
Lebih menarik, katanya, situasi hampir sama turut berlaku dalam DAP apabila perwakilan parti itu memilih untuk terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan yang turut melibatkan UMNO dan BN.
Gulam mendakwa, keputusan itu secara tidak langsung memperlihatkan UMNO yang menjadi sasaran kritikan masih dianggap penting untuk menjamin kelangsungan kuasa kerajaan sedia ada.
“Di kem DAP pula, perwakilan masih percaya untuk kekal di dalam kerajaan perpaduan yang adanya UMNO dan BN.
“UMNO dan BN masih ditagih untuk kekalkan kuasa agar ia tidak terburai jika UMNO dan BN ditendang keluar daripada Kerajaan Madani,” katanya.
Beliau berkata, keadaan tersebut ibarat UMNO berada dalam kedudukan sebagai pihak yang dituduh dan dikritik, namun pada masa sama tetap menjadi parti yang diperlukan apabila menyentuh soal kestabilan kerajaan.
“UMNO pihak yang dituduh, diam dan tidak dapat membela diri di dalam kongres PKR dan DAP, akhirnya termakan ayat-ayat nista mereka sendiri dengan inginkan UMNO kekal,” katanya.
Gulam kemudian menyifatkan keadaan itu sebagai satu bentuk kemenangan tanpa perlu bertarung bagi UMNO, apabila parti itu tidak perlu membalas setiap serangan secara terbuka tetapi akhirnya masih diperlukan dalam formula kerajaan.
“UMNO menang tanpa perlu berkata apa-apa, berpeluh atau berpencak untuk bertarung di gelanggang politik.
“UMNO sentiasa kekal tenang,” katanya.
Beliau turut mengimbas kembali ungkapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 2018 yang masih relevan dengan perkembangan politik semasa.
“Saya pernah teringat kata-kata daripada Presiden UMNO pada tahun 2018 yang berbunyi, ‘diam itu emas, bertindak itu berlian’. Faham sangat maksudnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















