Pelaksanaan prosedur itu membabitkan kerjasama Jabatan Oftalmologi, Jabatan Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif, Jabatan Pembedahan Ortopedik, Jabatan Forensik, Jabatan Patologi, Unit Angkut HPP, Unit Perolehan Organ Hospital (UPOH) HPP serta Pusat Transplan Negara.

GEORGE TOWN – Keputusan seorang ibu kepada lima cahaya mata mendaftar sebagai penderma organ sejak sekian lama memberi makna besar selepas pemergiannya secara mengejut pada 13 Ogos lalu.

Wanita berusia 36 tahun itu menghembuskan nafas terakhir selepas mengalami kecemasan perubatan ketika memandu sebelum terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dalam kenyataan berkata, mendiang sebelum ini telah mendaftar sebagai penderma organ dan hasrat berkenaan dihormati serta mendapat sokongan penuh daripada suaminya.

Katanya, tarikh pemergian mendiang pada 13 Ogos juga mempunyai makna tersendiri apabila ia bertepatan dengan sambutan Hari Pendermaan Organ Sedunia.

“Pada hari yang membawa kedukaan buat sebuah keluarga, hasrat murni yang pernah diikrarkan oleh mendiang telah membuka lembaran harapan buat insan lain.

“Hospital Pulau Pinang (HPP) berjaya menjalankan prosedur perolehan pelbagai tisu (multiple tissue procurement), yang merupakan prosedur kedua seumpamanya dilaksanakan di hospital berkenaan tahun ini,” kata kenyataan itu hari ini.

JKNPP berkata, pelaksanaan prosedur itu membabitkan kerjasama Jabatan Oftalmologi, Jabatan Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif, Jabatan Pembedahan Ortopedik, Jabatan Forensik, Jabatan Patologi, Unit Angkut HPP, Unit Perolehan Organ Hospital (UPOH) HPP serta Pusat Transplan Negara.

Dalam perkembangan berkaitan, HPP turut menzahirkan sokongan terhadap usaha meningkatkan kesedaran mengenai pendermaan organ sempena Hari Pendermaan Organ Sedunia dan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ 2026.

Mereka mengenakan pakaian berwarna hijau, manakala pancaran cahaya hijau turut dinyalakan sebagai simbol penghargaan kepada penderma serta keluarga mereka atas keikhlasan dan pengorbanan yang diberikan.

“Kisah ini mengingatkan kita bahawa satu ikrar yang dibuat hari ini mungkin menjadi harapan paling bermakna buat seseorang pada masa hadapan.

“Semoga kecekalan dan kemuliaan hati keluarga penderma menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama,” menurut kenyataan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here