JOHOR BAHRU – Penambahan peruntukan RM1 juta untuk setiap kawasan Parlimen yang diumumkan perdana menteri tidak seharusnya dijadikan tebusan politik antara ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya Abd Aziz berkata, pemberian itu perlu diberi secara telus dan adil kepada semua ahli Parlimen.
“Walaupun langkah untuk meningkatkan peruntukan ini adalah satu langkah yang baik, janganlah jadikan peruntukan ini sekali lagi sebagai tebusan politik antara ahli Parlimen kerajaan dan ahli Parlimen pembangkang.
“Kalau kerajaan betul-betul serius tentang reformasi, laksanakan Constituency Development Fund segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Kongres Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan penambahan peruntukan itu untuk setiap kawasan Parlimen.
Presiden PKR itu menegaskan, langkah itu membuktikan komitmen Kerajaan Madani yang tidak pernah mengurangkan peruntukan kepada kawasan Parlimen, sebaliknya sentiasa mencari ruang menambah bantuan secara terus tanpa melalui birokrasi berlebihan.
Amira Aisya turut melontarkan dua persoalan berhubung peruntukan tambahan itu iaitu pertama sama ada diberikan secara sama rata kepada semua ahli Parlimen tidak kira kerajaan atau pembangkang.
“Sebab kita tengok, bagaimana selama ini peruntukan ini tak sampai pun kepada pembangkang. Kalau kita punya ahli Parlimen MUDA sendiri, banyak kali jumpa perdana menteri, jumpa timbalan perdana menteri, itu pun peruntukan yang sepatutnya tidak diterima oleh semua Ahli Parlimen,” ujarnya.
Kata beliau, persoalan kedua adakah peruntukan berkenaan nanti sekiranya ahli Parlimen daripada pembangkang akan diberikan terus kepada mereka atau disalurkan kepada penyelaras.
“Sebab persoalannya sekarang, rakyat tak kenal siapa penyelaras. Rakyat kenal ahli Parlimen yang mereka undi, ahli Parlimen yang mereka pilih untuk mewakili mereka dalam Dewan Rakyat,” katanya.- MalaysiaGazette
















