Zainal Fitri Ahmad

JOHOR BAHRU – Singapura menghentikan serta-merta penghantaran sisa pembinaan dan perobohan (C&D) ke Malaysia selepas timbul isu eksport dan pelupusan sisa berkenaan di Pontian baru-baru ini.

Keputusan itu dimaklumkan Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) Singapura kepada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Johor menerusi panggilan telefon hari ini.

Pengarah SWCorp Negeri Johor, Zainal Fitri Ahmad memberitahu, panggilan diterima daripada Pengarah Kumpulan bagi Sumber dan Kemampanan NEA Singapura, Chan Chin Kai, bagi membincangkan isu aktiviti eksport dan pelupusan sisa pembinaan serta perobohan dari republik itu ke Pontian.

“SWCorp Negeri Johor menegaskan sebarang aktiviti eksport sisa berkenaan ke Malaysia perlu mematuhi peraturan berkuat kuasa serta mendapat kelulusan agensi penguat kuasa berkaitan di negara ini.

“SWCorp Negeri Johor mengemukakan kepada NEA Singapura senarai sembilan syarikat yang dikenal pasti mempunyai kaitan dengan aktiviti eksport sisa pembinaan dan perobohan dari Singapura bagi mendapatkan maklumat lanjut serta pengesahan berkaitan aktiviti syarikat terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, pihak NEA Singapura memaklumkan penghantaran sisa pembinaan serta perobohan dari Singapura ke Malaysia akan dihentikan berkuat kuasa serta-merta dan semakan lanjut akan dilaksanakan terhadap pihak berkaitan di Singapura.

Zainal Fitri berkata, SWCorp Johor dan NEA Singapura akan terus berhubung serta berkongsi perkembangan terkini hasil siasatan dan tindakan susulan yang dilaksanakan kedua-dua pihak dari semasa ke semasa.

Katanya, kerjasama NEA Singapura itu adalah perkembangan positif dalam usaha memastikan tiada lagi penghantaran sisa berkenaan dari Singapura ke Johor selepas ini.

“Memandangkan perkara ini membabitkan dua negara berjiran, keprihatinan NEA Singapura terhadap isu yang dibangkitkan penduduk di Johor serta tindakan yang diambil berhubung perkara itu amat dihargai,” katanya.

Kerjasama berkenaan katanya, turut membantu SWCorp Johor memperkukuh usaha pencegahan, pemantauan dan penguatkuasaan mengikut peruntukan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), sekiranya terdapat pihak melakukan kesalahan di bawah akta berkenaan.

Tambahnya, tindakan NEA Singapura itu membantu menangani isu yang didakwa penduduk berlaku sejak hampir dua tahun lalu di kawasan Mukim Sungai Karang, Pontian.

“Singapura mempunyai peraturan dan undang-undang berkaitan aktiviti eksport bahan terpakai dan bahan buangan. Malaysia juga mempunyai undang-undang serta peraturan yang perlu dipatuhi dalam perkara berkaitan pengurusan dan pelupusan sisa,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan kegiatan pembuangan sisa binaan yang dipercayai diambil daripada kerja-kerja perobohan rumah pangsa lama di Singapura ke lebih lima lokasi di daerah ini sejak dua tahun lalu.

Dianggarkan kira-kira 20 treler membawa sisa bahan binaan berkenaan untuk dibuang di beberapa lokasi, antaranya Kampung Sungai Senai, Kampung Sungai Karang dan Kampung Simpang Kiri.

Aktiviti itu yang didakwa berlaku terutama pada waktu malam hingga awal pagi, bukan sahaja menyebabkan rumah penduduk mengalami retak dan berhabuk malah meningkatkan risiko kemalangan jalan raya khususnya penunggang motosikal.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here