Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong.

KUALA LUMPUR – Akta baharu yang bakal menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) perlu bersifat lebih progresif dan tidak mengongkong mahasiswa.

Pakar Bahasa dan Perpaduan, Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, penggubalan akta baharu adalah perlu bagi memastikan ia jauh lebih baik daripada AUKU yang telah berkuat kuasa sejak awal 1970-an.

Menurutnya, walaupun AUKU telah melalui beberapa pindaan, akta berkenaan masih dilihat sebagai antara perkara yang menjadi penghalang kepada perkembangan akademik di negara ini.

“Sudah tentu (pemansuhan AUKU) dialu-alukan. Ini kerana AUKU sejak digubal pada awal 1970-an sehingga sekarang, walaupun ada pindaan sedikit sebanyak di sana sini, masih didapati sebagai penghalang akademik di negara ini.

“Ia sesuatu yang sudah lama dinantikan oleh kedua-dua pihak dan apabila diumumkan untuk dimansuhkan demi perkembangan akademik yang sihat, kita menyambut baik perkara itu,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan berhubung cadangan pemansuhan AUKU semasa berucap pada penggulungn Kongres Nasional Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada Ahad lalu.

Kok Seong berkata, skop akta baharu itu perlu dikaji dengan teliti, khususnya dengan mengambil kira pandangan mereka yang terlibat dalam dunia akademik serta masyarakat umum.

“Harus dikaji apakah skopnya. Pertama-tamanya mereka yang terlibat dalam dunia akademik dan juga masyarakat umum perlu melihat sama ada ia sesuatu yang berbeza daripada AUKU ataupun sekadar AUKU dalam bentuk yang lain.

Disebabkan itu, akta baharu itu perlu dikaji serta dibahaskan terlebih dahulu di Parlimen bagi memastikan perundangan tersebut benar-benar memenuhi keperluan dunia akademik semasa, kata Kok Seong.

Beliau berkata, proses tersebut penting bagi memastikan akta baharu yang diperkenalkan benar-benar membawa pembaharuan dalam sistem pengajian tinggi, bukan sekadar menggantikan nama atau bentuk perundangan sedia ada.

“Jadi, ada keperluan untuk perkara ini dibahaskan oleh wakil rakyat kita di Parlimen,” ujarnya.

Menurut beliau,  pemansuhan AUKU tidak seharusnya dilihat sebagai langkah untuk mengundur ke belakang, sebaliknya perlu disusuli dengan pengenalan akta baharu yang lebih progresif.

Tambah beliau, akta baharu itu juga perlu seiring dengan perkembangan akademik di peringkat antarabangsa dan pada masa sama memastikan kebebasan mahasiswa tidak disekat secara berlebihan.

“Yang penting, akta baharu ini harus jauh lebih baik daripada yang lama. Kita boleh mengharapkan ia sejajar dengan perkembangan di seluruh dunia.

“Namun, ia tidak sepatutnya mengongkong mahasiswa. Istilah ‘mengongkong’ itu sendiri subjektif, tetapi perkara ini perlu dilihat demi kebaikan dunia akademik,” katanya.

Kok Seong turut berpandangan, sebarang akta baharu perlu mencapai keseimbangan antara kebebasan akademik, kepentingan institusi pengajian tinggi dan keperluan negara. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here