Gambar kiriman orang awam

KUANTAN – Tiga lelaki dipercayai melarikan diri bersama barang kemas bernilai lebih RM1.7 juta daripada sebuah kedai emas di Sky Avenue Genting Highlands, Bentong pagi semalam.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.39 pagi ketika hanya dua pekerja berada di dalam premis tersebut.

Menurutnya, ketika kejadian, tiga suspek lelaki itu memakai penutup muka, topi dan jaket dipercayai memasuki premis dengan bersenjatakan kapak dan kuku kambing.

“Suspek kemudiannya mengumpil dan memecahkan cermin pameran barang kemas sebelum mengambil lima bekas barang kemas yang mengandungi 81 barang kemas pelbagai jenis dan berat anggaran berat 2.5 kilogram bernilai keseluruhan RM 1,747,500.

“Kejadian itu dipercayai berlaku dalam tempoh kira-kira dua minit sahaja sebelum kesemua suspek keluar dari premis sekitar jam 11.41 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azry Akmar berkata, semasa kejadian berlaku, salah seorang daripada tiga pekerja kedai itu sedang keluar untuk berehat, manakala tiada pengawal keselamatan ditugaskan di premis terbabit.

Tambahnya, hasil semakan klip rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian pula mendapati, suspek menggunakan sebuah kenderaan mewah jenis BMW yang didaftarkan atas nama seorang individu lelaki beralamat di Ampang, Selangor.

“Susulan kejadian, Op Tutup telah diaktifkan pada jam 12 tengah hari di Check Point 2 Genting Highlands serta laluan menghala ke Batang Kali dan ditamatkan pada kira-kira 4.15 petang,” katanya lagi.

Beliau menegaskan pihaknya memandang serius kejadian berkenaan dan masih giat menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi memastikan ketiga-tiga suspek yang terlibat dapat dikesan dan dibawa ke muka pengadilan.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Nurul Aqilah Azmi di talian 011-3175 9522 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Semalam, kecoh di media sosial para pengunjung mengeluh  kerana terpaksa berdepan kesesakan teruk beberapa jam ketika perjalanan turun daripada pusat peranginan itu susulan sekatan pergerakan sementara yang dikuatkuasakan pihak polis.

Tular juga klip video dimuatnaik pengguna memaparkan beberapa individu lelaki berpakaian hitam melarikan diri dipercayai selepas kejadian samun terbabit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast